Pasangan warga emas rempuh pemandu lori ditahan

KAJANG – Sepasang suami isteri warga emas ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemandu lori dirempuh sebuah kereta berhampiran Bandar Teknologi Kajang di sini pada 28 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang memaklumkan anak lelakinya, berusia 42 tahun, telah dilanggar hingga mengalami kecederaan serius dan tidak boleh bergerak.
“Hasil siasatan mendapati terdapat rakaman video dashcam daripada kenderaan awam yang menunjukkan sebuah kereta berwarna hitam sengaja melanggar mangsa selepas dia turun daripada lori yang dipandunya.
“Mangsa diseret sehingga ke tengah pembahagi jalan sebelum kenderaan suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, pasangan suami isteri berusia 73 dan 65 tahun itu ditahan pada pukul 11.15 malam semalam bagi membantu siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga membahayakan orang lain, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 bagi membantu siasatan,” katanya.