Tumpahan minyak dikesan di perairan Tanjung Tuan | Madani News

Tumpahan minyak dikesan di perairan Tanjung Tuan

Tumpahan minyak dikesan di perairan Tanjung Tuan
Kesan tumpahan minyak yang dikesan di perairan Tanjung Tuan, Negeri Sembilan. Gambar: Maritim Malaysia

SEREMBAN – Jabatan Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan mengesahkan berlaku insiden tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan, Negeri Sembilan, semalam.

Menurut kenyataan Maritim Malaysia hari ini, kejadian itu dikesan pada koordinat 02′ 23.19″ N, 101′ 49.518″ E, kira-kira 1.9 batu nautika di barat daya Tanjung Tuan, yang terkenal dengan biodiversiti dan aktiviti pelancongan.

“Pada pukul 7.23 pagi, Maritim Malaysia menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada seorang penduduk tempatan, Rosly Adom, yang ketika itu sedang menjalankan aktiviti mencari siput di kawasan berkenaan.

“Maklumat yang diterima segera disalurkan kepada pegawai bertugas harian, Leftenan (M) Mohd. Nor Abd. Rashid serta Ketua Bot PERKASA 37, Bintara Muda (M) Mohamed Khairi Zaidi,” jelasnya.

Menurut Maritim Malaysia, bot PERKASA 37 telah digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 8.00 pagi untuk melakukan penilaian serta siasatan awal.

Katanya, hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat tumpahan minyak seperti yang dilaporkan dan sampel minyak diambil untuk analisis lanjut dan rakaman gambar serta video dihantar kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan (PUSOP MNMNS).

“Data itu juga telah disalurkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka dan Jabatan Laut Melaka bagi tindakan lanjut,” jelasnya.

Menurut Maritim Malaysia, sampel minyak berkenaan telah dihantar kepada pihak JAS Negeri Melaka sebagai bahan bukti siasatan, dan langkah seterusnya akan ditentukan selepas mendapat arahan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen mereka dalam menangani isu pencemaran laut dan memastikan tindakan tegas diambil bagi melindungi alam sekitar serta kepentingan masyarakat setempat.

“Bot PERKASA 37 serta pasukan operasi sentiasa bersedia untuk digerakkan bagi membantu langkah seterusnya,” katanya.

Maritim Malaysia juga menyeru orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang kejadian yang mencurigakan supaya tindakan pantas dapat diambil.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan selepas siasatan selesai,” jelasnya. – MADANI NEWS