2 Tahun Runding Tak Selesai?.. PM Anwar sekali lagi minta pembangkang runding draf MoU peruntukan Parlimen | Madani News

2 Tahun Runding Tak Selesai?.. PM Anwar sekali lagi minta pembangkang runding draf MoU peruntukan Parlimen

2 Tahun Runding Tak Selesai?.. PM Anwar sekali lagi minta pembangkang runding draf MoU peruntukan Parlimen

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi meminta pembangkang menyertai rundingan berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan sama rata, dengan menegaskan bahawa syaratnya sentiasa terbuka untuk perbincangan.

Beliau menegaskan bahawa semasa beliau menjadi Ketua Pembangkang, banyak pertemuan telah diadakan dengan Perdana Menteri ketika itu untuk berbincang mengenai isu peruntukan. Oleh itu, beliau menyeru pembangkang agar mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum mengkritik secara terbuka.

“Jadi, mesyuaratlah dulu. Draf itu boleh dipinda. Yang ini nak bising kat luar kenapa? Nak jadi hero jalanan? Belajar dulu,” katanya membidas pemimpin pembangkang, khasnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata gabungannya mempunyai alasan sah menolak draf tersebut.

Anwar turut menolak dakwaan bahawa Ahli Parlimen pembangkang bergelut dari segi kewangan.

“Anda tahu berapa gaji Ahli Parlimen jika kira elaun semua? Dah cecah RM30,000 hingga RM40,000. Jadi, bukanlah (mereka) tak ada wang,” katanya selepas merasmikan Hari HASiL ke-29 2025 di Cyberjaya.

Beliau menambah bahawa projek di kawasan yang diwakili pembangkang tetap diteruskan, cuma ia dijalankan terus melalui kerajaan dan tidak disalurkan secara langsung kepada Ahli Parlimen.

“Projek itu jalan terus kepada rakyat atau melalui cadangan Ahli Parlimen… jadi nak kata rakyat terbeban adalah tidak benar,” katanya.

Arahan Agong dan Janji Kerajaan

Perbahasan mengenai isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang bukanlah perkara baharu. Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong pernah mengingatkan kerajaan supaya mengagihkan peruntukan secara adil kepada semua kawasan Parlimen, termasuk yang diwakili pembangkang, bagi memastikan rakyat di semua kawasan mendapat manfaat pembangunan secara saksama.

Selain itu, ketika mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Anwar sendiri pernah menekankan kepentingan perbincangan antara kerajaan dan pembangkang bagi mencapai kesepakatan berkaitan peruntukan. Namun, selepas lebih dua tahun, rundingan tersebut masih belum menemui penyelesaian.

Dengan seruan terbaharu Anwar ini, timbul persoalan sama ada kerajaan benar-benar ikhlas untuk memberikan peruntukan kepada kawasan Parlimen yang dikuasai pembangkang atau sekadar cakap-cakap kosong untuk menunjukkan mereka adalah kerajaan yang prihatin. – MADANINEWS

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews