Rumah hangus terbakar, tiga keluarga hilang tempat tinggal

KOTA KINABALU – Tiga keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah setinggan yang mereka diami di Skim Penempatan Telipok di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.41 pagi dan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 yang dibuat oleh orang awam.
Menurut beliau, dua jentera bomba bersama seorang pegawai dan 27 anggota dihantar ke lokasi dan tiba pada pukul 12.10 tengah hari sebelum berjaya mengawal kebakaran.
“Kebakaran itu menyebabkan tiga rumah musnah sepenuhnya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Seramai 24 mangsa daripada tiga keluarga terjejas dan kini ditempatkan sementara di rumah saudara-mara berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan setakat ini tiada unsur khianat dikesan, manakala jumlah kerugian masih dalam penilaian.
Beliau menambah, operasi pemadaman kebakaran turut melibatkan kerjasama dua anggota Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) serta lima anggota polis, termasuk dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan tiga anggota Balai Polis Manggatal.
Jelasnya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan kebakaran terutamanya di kawasan kediaman bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MADANI NEWS