Ambil tindakan tegas individu terlibat rasuah pendaftaran kelahiran – MCW

KUALA LUMPUR – Semua individu termasuk penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah melibatkan urusan pendaftaran kelahiran mesti dikenakan tindakan tegas bagi memastikan kesalahan itu tidak berulang.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
“MCW memandang serius pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penahanan 16 individu yang disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran serta penggunaan dokumen sokongan palsu.
“Perbuatan memanipulasi status kewarganegaraan melalui rasuah adalah jenayah berat yang tidak boleh dikompromi dan hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap dalang utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan pantas SPRM menerusi Op Outlander dan Op Birth dalam membanteras aktiviti tidak bermoral itu wajar dipuji dan perlu diperluaskan bagi memastikan tiada lagi kelemahan dalam sistem pendaftaran negara.
Sehubungan itu, Jais menegaskan lima langkah utama yang perlu diambil bagi menangani isu tersebut termasuk memperketatkan proses pemantauan pendaftaran kelahiran, mempercepatkan penggunaan teknologi digital serta memastikan perlindungan lebih baik kepada pemberi maklumat.
“MCW juga menyeru agar pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan diberikan latihan berkala mengenai integriti serta kesan buruk rasuah terhadap negara dan masyarakat.
“Malaysia hanya boleh mencapai status negara bebas rasuah jika semua pihak memainkan peranan secara proaktif dalam memastikan ketelusan dalam pentadbiran negara,” katanya.
Tambahnya, MCW akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan setiap kes rasuah dibongkar dan tidak berulang lagi pada masa hadapan. – MADANI NEWS