SKMM siasat lelaki dakwa laungan azan tidak dibenarkan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur agama, kaum dan raja (3R) di media sosial, menyentuh sensitiviti agama.
Menurut SKMM, kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya pada 9 Mac lalu, mendakwa bahawa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan.
“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping pada 12 Mac. Sebuah telefon bimbit serta satu kad SIM turut disita bagi tujuan analisis forensik,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, pasukan penguat kuasa SKMM menyerahkan satu notis kehadiran di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, SKMM menasihatkan orang ramai agar menggunakan media sosial dengan penuh tanggungjawab dan tidak memuat naik kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum serta agama di negara ini.