CUEPACS harap penjawat awam diberi Bantuan Khas Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon pertimbangan kerajaan untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam bagi meringankan beban perbelanjaan mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, walaupun penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri amat dihargai dan dinanti-nantikan bagi memastikan kesejahteraan mereka serta keluarga dalam membuat persiapan perayaan.
“Bantuan khas ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh penjawat awam, malah memberi manfaat kepada peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang bergantung kepada lebihan wang daripada bantuan ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka.
“Apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan serta sektor perkhidmatan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sambutan Aidilfitri sering kali melibatkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat.
Adnan berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, pemberian bantuan khas ini akan sedikit sebanyak membantu penjawat awam menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.
“Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.
“Oleh itu, kami percaya kerajaan akan terus mengambil kira kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian BKK Aidilfitri tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka,” katanya. – MADANI NEWS