Muhyiddin cadang tubuh RCI, siasat ketirisan industri padi dan beras

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat ketirisan serta jenayah perdagangan dalam industri padi dan beras.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, cadangan tersebut penting bagi menangani pelbagai isu yang membelenggu sektor makanan ruji negara, termasuk dakwaan pencampuran beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI) yang dijual pada harga lebih tinggi.
Menurut Muhyiddin, beliau telah bertemu dengan wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) yang membangkitkan pelbagai masalah, antaranya peningkatan kos input seperti benih, baja, racun tidak berkualiti, serta kos perkhidmatan mesin dan jentera.
Sehubungan itu, petani turut menggesa harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan metrik berbanding RM1,300 yang baru sahaja ditetapkan bulan lalu.
“Industri padi dan beras perlu diselesaikan secara menyeluruh dengan melibatkan setiap rantaian ekosistem serta agensi berkaitan. Saya mencadangkan kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu yang mengancam kelestarian industri ini,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini turut membangkitkan cadangan serupa dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada 13 Februari lalu.
Sementara itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebelum ini mengesahkan bahawa kira-kira 40% hingga 50% daripada 5,000 sampel BPI yang dianalisisnya bercampur dengan BPT, dipercayai berlaku di peringkat pengilang.
Cadangan penubuhan RCI ini dijangka menjadi perhatian utama dalam usaha memastikan ketelusan dan kestabilan industri padi serta kesejahteraan pesawah di Malaysia.
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews