Tun Abdullah PM terakhir menang PRU majoriti dua pertiga | Madani News

Tun Abdullah PM terakhir menang PRU majoriti dua pertiga

Tun Abdullah PM terakhir menang PRU majoriti dua pertiga
Abdullah Ahmad Badawi

ALLAHYARHAM Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pergi selama-lamanya semalam meninggalkan nama sebagai Perdana Menteri terakhir (setakat ini) yang dilantik setelah memenangi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum (PRU).

Keputusan PRU-11 pada 21 Mac 2004 menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Abdullah memenangi 198 daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Pembangkang pula hanya mampu meraih 20 kerusi iaitu 12 kerusi dimenangi DAP diikuti PAS sebanyak 7 kerusi diikuti PKR 1 kerusi manakala Bebas 1 kerusi.

Kemenangan besar itu membolehkan BN menguasai 90.4 peratus kerusi Parlimen sekali gus membuktikan kewibawaan Abdullah yang lebih mesra dengan gelaran Pak Lah sebagai seorang pemimpin politik.

Antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan BN adalah keperibadian Pak Lah yang dikenali sebagai ‘Mr Clean’ serta sentiasa tenang dan merendah diri.

Penjawat awam yang berkhidmat ketika era pentadbiran Pak Lah juga pasti tidak melupakan slogan ‘Bekerja Bersama Saya, Bukan Untuk Saya’ yang sering dituturkan Perdana Menteri Kelima itu dalam ucapannya.

Abdullah sekali lagi mengepalai BN pada PRU-12 yang berlangsung 8 Mac 2008, namun buat kali pertama dalam sejarah, BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga.

Daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN menang 140 kerusi manakala pakatan pembangkang yang secara tidak rasmi dikenali sebagai Pakatan Rakyat menguasai 82 kerusi (PKR – 31 kerusi, DAP – 28 kerusi dan PAS – 23 kerusi).

Selepas PRU-13, Datuk Seri Najib Razak dilantik semula sebagai Perdana Menteri dan jumlah kerusi yang dapat dipertahankan BN menyusut kepada 133 kerusi.

Pakatan Rakyat pula menang 89 kerusi, di mana 30 kerusi dimenangi oleh DAP diikuti PKR (30 kerusi) dan PAS (21 kerusi).

Walaupun, Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN pada PRU-14, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali mentadbir negara sebagai Perdana Menteri ketujuh gagal beroleh sokongan majoriti dua pertiga.

PH memenangi 113 kerusi berbanding BN 79 kerusi dan PAS 18 kerusi. Parti Warisan yang ketika itu bersekutu dengan PH meraih lapan kerusi.

Dua Perdana Menteri berikutnya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga dan kedua-duanya tidak melalui proses pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih jumlah kerusi tertinggi iaitu 82 kerusi pada PRU-14, namun jumlah itu tidak membolehkan beliau beroleh majoriti mudah untuk melayakkannya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Akhirnya, Anwar berjaya mendapat majoriti dua pertiga setelah BN, Gabungan Parti Sabah (GPS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan beberapa Ahli Parlimen lain menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Setakat ini, kelab menang majoriti dua pertiga pada PRU dianggotai Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Dr. Mahathir dan Allahyarham Abdullah.

Sama ada pada PRU-16 nanti Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar mampu menamatkan kemarau majoriti dua pertiga yang kali terakhir dikecapi BN pada PRU-11, ia bergantung kepada pilihan rakyat. – MADANI NEWS