JAKIM minta SKMM ambil tindakan terhadap 'Lyan Liu' | Madani News

JAKIM minta SKMM ambil tindakan terhadap ‘Lyan Liu’

JAKIM minta SKMM ambil tindakan terhadap ‘Lyan Liu’
Tangkap layar komen Lyan Liu yang tular dalam media sosial.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pemilik akaun Facebook ‘Lyan Liu’.

Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kenyataan berunsur penghinaan, hasutan dan kebencian terhadap agama Islam yang tular dalammedia sosial

Sehubungan itu, katanya, JAKIM membuat aduan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada, memandangkan kandungan tersebut jelas berunsur ekstremisme, kebencian agama dan perkauman.

“Kenyataan yang dimuat naik individu berkenaan mengandungi unsur penghinaan keterlaluan terhadap agama dan bangsa, yang jelas bertentangan dengan prinsip keharmonian antara kaum dan agama yang telah lama dipelihara di negara ini.

“JAKIM menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Komen yang dibuat oleh ‘Lyan Liu’ itu turut mengandungi ancaman keganasan terhadap umat Islam.

Sirajuddin menambah, tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan sensitiviti umat Islam, malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta menggugat perpaduan nasional.

“JAKIM menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh atau bertindak balas secara emosional terhadap sebarang bentuk provokasi seumpama ini, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas berdasarkan lunas undang-undang,” katanya. – MADANI NEWS