Mahkamah perintah Ustaz Abu Syafiq bayar RM2.5 juta kerana fitnah Khairy kes vaksinasi | Madani News

Mahkamah perintah Ustaz Abu Syafiq bayar RM2.5 juta kerana fitnah Khairy kes vaksinasi

Mahkamah perintah Ustaz Abu Syafiq bayar RM2.5 juta kerana fitnah Khairy kes vaksinasi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pendakwah Ustaz Abu Syafiq membayar RM2.5 juta kerana memfitnah bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.

Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan Khairy selaku plaintif.

Khairy selaku plaintif telah memfailkan saman fitnah terhadap Abu Syafiq dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam selaku defendan di Mahkamah Tinggi pada 25 Januari 2022 lalu, memetik laporan Sinar Harian.

Saman itu dibuat susulan tulisan dalam talian antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Saman tersebut difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari 2022.

Menurut laporan, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.

Dalam pada itu, Abu Syafiq menerusi satu hantaran berasingan sebelum itu turut menyatakan bahawa dia akan memadam segala hantaran dan video vaksin berkait dengan bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Bagaimanapun pada 15 April 2024, kes saman terhadap Lokman diselesaikan secara baik apabila beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan. – MADANI NEWS

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews