Razman gesa pengundi Ayer Kuning ‘hukum’ UMNO kerana langgar janji tolak DAP, Anwar

PESURUHJAYA PAS Perak, Razman Zakaria menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning agar menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini sebagai medan untuk memberi isyarat penolakan terhadap kerjasama UMNO dengan DAP dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu video kempen yang dikongsikan di Facebooknya, ADUN Gunung Semanggol itu mendakwa UMNO telah memungkiri janji untuk tidak bersekongkol dengan DAP dan Anwar, merujuk kepada ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, yang antara lain melaungkan penolakan terhadap DAP, Anwar dan juga Bersatu.
“Guna kesempatan yang ada ini untuk beri ‘signal’ kepada masa depan negara, tak setuju dengan PMX (Anwar) dan DAP.
“Tak setuju tindakan UMNO yang mungkir janji tidak bersama DAP dan Anwar,” katanya sambil menggesa sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek.
Razman yang juga Timbalan Pengerusi PN Perak turut menyeru pengundi muda, khususnya yang pertama kali mengundi atau tinggal di luar Tapah, supaya pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Guna akal fikiran waras untuk mengundi PN,” tegasnya, meskipun beliau baru-baru ini digantung enam bulan daripada menghadiri sidang DUN Perak.
Untuk rekod, PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Abd Muhaimin (PN), Mohamad Yusri Bakir (BN), dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya dari UMNO, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu. Pada PRU lalu, Ishsam menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri, termasuk di Perak. Kedua-dua parti juga telah bekerjasama dalam beberapa PRN dan PRK selepas PRU15.
Sebanyak 31,897 pengundi berdaftar bakal menentukan hala tuju Ayer Kuning, dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 April.