MHO gesa segera dakwa syarikat skim pelaburan ala hutang

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa sebuah syarikat yang menganjurkan skim pelaburan ‘ala hutang’.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seramai 87 mangsa dilaporkan mengalami kerugian mencecah RM47.3 juta akibat terjebak dalam skim berkenaan sejak 2020.
Menurut beliau, para mangsa telah membuat laporan polis terhadap syarikat yang terlibat namun sehingga kini, tiada penyelesaian yang adil dicapai.
“Malah kebanyakan kes yang telah dibawa ke mahkamah dikatakan diklasifikasikan sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas pengadu menarik balik laporan masing-masing.
“Lebih membimbangkan, terdapat kes di mana laporan mangsa lain telah dirujuk kepada kes yang telah diklasifikasi sebagai DNAA, sekali gus menyukarkan peluang untuk kes mereka didengar secara berasingan dan telus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, MHO menggesa tindakan diambil mengikut lunas undang-undang di bawah Kanun Keseksaan.
“Kami berharap PDRM serta agensi penguatkuasaan dan siasatan lain dapat bertindak segera bagi membela nasib mangsa yang mengesyaki mereka telah ditipu dalam pelaburan yang tidak wujud ini,” ujarnya. – MADANI NEWS