Janna Nick semakin hampir siapkan pusat tahfiz impian di kampung sendiri! | Madani News

Janna Nick semakin hampir siapkan pusat tahfiz impian di kampung sendiri!

Janna Nick semakin hampir siapkan pusat tahfiz impian di kampung sendiri!

WALAUPUN sibuk berlakon, berniaga produk kecantikan dan menjadi isteri kepada Dini Schatzmann, pelakon popular Janna Nick tetap tak lupa agenda besar dalam hidupnya – membina sebuah pusat tahfiz untuk masyarakat.

Melalui satu projek wakaf ilmu yang sudah lama dirancang, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, kini semakin hampir merealisasikan impian tersebut. Dalam satu perkongsian di Instagram baru-baru ini, Janna berkongsi perkembangan projek Pusat Pengajian Al-Quran Nurul Jannah yang sedang rancak dibina di Masjid Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah – kampung halaman tempat dia membesar.

Menurut Janna, projek pembinaan itu kini memasuki fasa baru selepas beberapa kemajuan besar dicapai.

“Sebelum ini dewan makan dah siap, tambak tanah pun dah siap. Sekarang kami akan mula perbaharui kelas pula,” katanya ceria dalam satu video.

Yang paling penting, katanya, setiap sumbangan yang diterima digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan kemudahan pelajar-pelajar di pusat tahfiz itu. Janna juga sempat meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang telah membantu.

Dan untuk anda yang mungkin terdetik nak buat pahala – peluang untuk menyumbang masih terbuka luas!

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memberikan sokongan padu dan doa-doa yang manis buat Janna.

Antaranya:

“Syukur Alhamdulillah. Semoga pahala terus mengalir sampai ke alam sana,”
“Masha-Allah. Syukur impian Janna tercapai,”
“Tahniah Janna. Saham akhirat,”

Untuk rekod, pada tahun 2022, Janna pernah berkongsi hasrat membina pusat tahfiz ini dengan anggaran kos sekitar RM6 juta. Lokasi pilihan pula bukan calang-calang – di tanah tempat dia dibesarkan sendiri.

Semoga usaha murni ini bukan saja memberi manfaat di dunia, tapi juga menjadi bekalan indah buat Janna di akhirat kelak.

MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN

Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews