BN syukur menang di Ayer Kuning, janji terus perjuang politik kesederhanaan

BARISAN Nasional (BN) menzahirkan rasa syukur atas kemenangan penuh bermakna calon mereka, Dr. Ustaz Mohamad Yusri Bakir, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, kemenangan ini dilihat sebagai satu amanah besar yang diberikan oleh rakyat, sekaligus menunjukkan keyakinan mereka terhadap kemampuan BN untuk terus mengangkat agenda pembangunan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
Bagi pihak Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta seluruh anggota Dewan Tertinggi BN dan Friends of BN, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengundi Ayer Kuning yang memberikan sokongan padu kepada calon BN.
Zambry turut menyampaikan penghargaan kepada semua jentera parti yang berkempen tanpa mengenal penat lelah sepanjang tempoh pilihan raya, selain menzahirkan terima kasih atas kerjasama erat daripada Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sebagai sumbangan bermakna kepada kejayaan tersebut.
“Kerjasama ini mencerminkan keutuhan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kemenangan di Ayer Kuning adalah manifestasi keyakinan rakyat terhadap prestasi cemerlang Kerajaan Negeri Perak yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dengan mandat yang diperbaharui ini, BN bertekad untuk terus memperjuangkan politik kesederhanaan, memperkukuhkan perpaduan rakyat dan menggerakkan segala potensi demi membina masa depan negara yang lebih gemilang. – MADANI NEWS