Kilang Continental Alor Setar ditutup hujung tahun, 950 pekerja terjejas | Madani News

Kilang Continental Alor Setar ditutup hujung tahun, 950 pekerja terjejas

Kilang Continental Alor Setar ditutup hujung tahun, 950 pekerja terjejas
Gambar Continental

PENGELUAR tayar dari Jerman, Continental mengumumkan bakal menghentikan operasi kilang tayarnya di Alor Setar, Kedah menjelang hujung tahun ini, langkah yang bakal menjejaskan nasib hampir 950 pekerja tempatan.

Penutupan ini dibuat selepas semakan perniagaan menyeluruh dalam usaha melindungi daya saing serta memperkukuh prestasi syarikat di rantau Asia-Pasifik. Menurut Continental, keputusan sukar ini dipacu oleh perubahan permintaan pelanggan dan keperluan untuk mengoptimumkan portfolio produk tempatan.

“Kami komited untuk menyokong pekerja kami sepanjang proses ini dengan menawarkan kaunseling kerjaya dan membantu mereka meneroka peluang pekerjaan lain, sama ada dalam Continental mahupun di luar syarikat,” kata Continental dalam kenyataan rasminya.

Fasiliti di Kedah, yang mula beroperasi sejak 20 Disember 1979 dan menjadi anak syarikat milik penuh Continental sejak 2012, mengeluarkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan dan motosikal. Terletak di atas tanah seluas 133,000 meter persegi, kilang ini telah menjadi sebahagian daripada ekosistem industri tempatan selama lebih empat dekad.

Meskipun menutup operasi pengeluaran di Alor Setar, Continental menegaskan komitmennya terhadap pasaran Malaysia yang kekal strategik di rantau ini.

Penutupan ini dijangka meninggalkan kesan besar terhadap ekonomi setempat, memandangkan kilang berkenaan selama ini menjadi antara majikan utama di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN

Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews