Berita baik untuk pemandu e-hailing, penghantar makanan dll – RUU Pekerja Gig akan dibentang, kata Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala isu dan kebajikan berkaitan pekerja gig akan ditangani segera menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.
Beliau berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat akan datang.
“Terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya melibatkan aspek perlindungan kumpulan pekerja berkenaan,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, barisan Menteri Kabinet, ketua setiausaha kementerian serta ketua-ketua agensi.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Info ringkas
- Ahli kesatuan yang miliki kad pekerja MADANI akan diberi diskaun, kemudahan
- RUU Gig akan dibentang pada sesi Parlimen akan datang, bantu selesai isu pekerja gig
- Pekerja perlu laksana tugas dengan ikhlas dan tekun untuk bawa Malaysia jadi negara terhebat di rantau ini
Terdahulu dalam ucapannya, Sim menyeru semua pihak untuk memberi sokongan kepada kerajaan dalam meluluskan RUU itu.
“Saya ingin menyeru kepada semua pihak, jangan menghalang kerajaan membela nasib pekerja gig. Berilah sokongan kepada kerajaan untuk membentangkan RUU Pekerja Gig demi membela nasib pekerja gig kita,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan Kementerian Sumber Manusian (KESUMA) akan menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerja bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan berkaitan isu perburuhan dengan meletakkan urusan beberapa jabatan serta agensi kementerian di bawah satu bumbung.
Sim berkata projek perintis itu akan melibatkan tiga pusat sehenti di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru.
Bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”, sambutan tahun ini dihadiri lebih 10,000 warga kerja pelbagai sektor daripada agensi awam dan swasta .
— BERNAMA