251 calon tawar diri tanding MPP PKR

SERAMAI 251 calon menawarkan diri bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), termasuk sayap Pemuda dan Wanita pada pemilihan 23 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Dr Zaliha Mustafa, berkata ia termasuk 104 pencalonan bagi jawatan MPP, 85 bagi Majlis Pimpinan Pemuda dan 62 untuk Majlis Pimpinan Wanita.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan PKR tidak ketandusan bakat pelapis, malah ia mengukuhkan lagi posisi parti sebagai wadah perjuangan yang sentiasa memberi ruang kepada tokoh baharu dalam memperkasakan demokrasi dalaman parti,” katanya dalam kenyataan.
Selepas pencalonan berakhir 11.59 malam tadi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim diumumkan menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR serta ketua Pemuda.
Sementara itu, Zaliha berkata, tempoh bantahan selama dua hari bermula esok, diikuti proses rayuan terhadap sebarang bantahan pada 13 dan 14 Mei ini.
Menurutnya, senarai akhir calon peringkat pusat akan dimuktamadkan 15 Mei nanti, manakala tempoh rasmi berkempen bermula selepas itu dan berakhir 11.59 malam 22 Mei ini.
Beliau mengingatkan semua calon mematuhi peraturan dan tata etika pemilihan.
“Amalkan kempen berhemah, matang dan saling menghormati satu sama lain. Pemilihan ini perlu menjadi ruang memperkukuh saf perjuangan dalam semangat kekeluargaan yang menjadi asas PKR sejak sekian lama.” – MADANI NEWS