JPJ perkenal rekaan ilustrasi lesen memandu terkini

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan rekaan ilustrasi terkini Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, rekaan ilustrasi LMM versi terkini itu berupaya mencegah unsur-unsur pengubahsuaian dan pemalsuan kad, serta mempunyai daya tahan penggunaan untuk tempoh maksimum 10 tahun.
“Manakala dari aspek reka bentuk ilustrasi, LMM versi terkini mempunyai gambar latar belakang yang memaparkan Bangunan Sultan Abdul Samad dan motif abstrak gelombang pada bahagian hadapan, serta Istana Negara dan motif abstrak flora pada bahagian belakang.
“Pada masa ini, cetakan fizikal kad LMM versi terkini masih hanya dibenarkan untuk pemohon kategori warganegara yang akan ke luar negara dan bukan warganegara sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, cetakan kad LMM untuk kategori yang dibenarkan pada masa ini telah pun berlangsung secara berperingkat di cawangan-cawangan JPJ tertentu bagi memberi masa kepada tempoh peralihan daripada sistem kad versi sebelumnya kepada versi terkini. – MADANI NEWS