Naim Daniel mengaku tak salah tuduhan amang seksual remaja perempuan

PENYANYI dan pelakon Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan bulan lalu.
Pemilik nama sebenar Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim M Kunasundary dalam prosiding dijalankan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 17 tahun bagi tujuan seksual di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 8.56 malam, 19 Mei lalu, memetik laporan FMT.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya menurut Sinar Harian.
Naim diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos ini.
Minggu lalu, media melaporkan suspek ditahan polis bagi membantu siasatan kes amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Mangsa dikatakan berkenalan dengan artis itu di sebuah kafe tempatnya bekerja sejak tiga bulan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, berkata mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan.
- MADANINEWS