Mohd Khalid dilantik Ketua Polis Negara baharu, berkuat kuasa hari ini

PENGARAH Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain berkuat kuasa hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mohd Khalid, 60, pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 September 2021.
Simbolik majlis itu turut dilaksanakan dengan penyerahan tongkat kuasa daripada Razarudin kepada Mohd Khalid.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, setakat ini masih kekal dengan jawatannya.
Dilahirkan 8 April 1965 di Manong, Perak, lulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berpengalaman dalam bidang risikan/keselamatan.
Sementara itu, Saifuddin menyatakan penghargaan kepada Razarudin atas segala sumbangan dan khidmat bakti diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Razarudin, yang dilantik sebagai KPN pada Jun 2023 untuk tempoh kontrak dua tahun, sebelum ini menyatakan beliau tidak akan menyambung kontrak tersebut demi menghormati hasrat ibunya.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews