300 juta unit AHB ditawar kepada pelabur bumiputera | Madani News

300 juta unit AHB ditawar kepada pelabur bumiputera

300 juta unit AHB ditawar kepada pelabur bumiputera
Mohamad Damshal Awang Damit (tengah) bersama Ketua Pegawai Pelaburan PHB, Norani Mustapha (kiri) dan Ketua Syarikat PHB Property Ventures Berhad, Fauziah Mohd. Azali (kanan) pada sidang media selepas majlis perasmian Mayang Mall, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan pembukaan 300 juta unit Amanah Saham Bumiputera (AHB) tersedia yang boleh dilanggan oleh pelabur bumiputera di seluruh negara dengan tumpuan khas kepada wilayah Pantai Timur.

Pengerusinya, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, tawaran itu merupakan peluang terbaik untuk bumiputera menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan yang berisiko rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar.

“Selari dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, kerjasama erat antara PHB dan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh.

“Ia bukan hanya melalui pelaburan hartanah tetapi juga dalam menyampaikan mandat sosial PHB kepada masyarakat bumiputera di Terengganu menerusi penyertaan dalam AHB.

“Kami yakin dengan kerjasama erat ini, PHB dapat melabur di dalam aset-aset berprestasi tinggi dengan pulangan pelaburan yang stabil dan seterusnya menyumbang secara langsung kepada pembangunan hartanah Bumiputera yang mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mayang Mall di sini, baru-baru ini.

Bagi memberi maklumat lanjut kepada orang ramai, reruai AHB dibuka di Mayang Mall dari 19 hingga 28 Jun 2025 untuk tujuan pendaftaran dan pertanyaan pelaburan.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Mayang Mall yang merupakan mercu tanda baharu di bandar raya ini.

Berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit.

Sementara itu, Mohamad Damshal berkata, pihaknya telah menyediakan platform digital MyAHB yang boleh diakses oleh pelabur sekali gus memudahkan urusan pelaburan mereka.

“Menerusi platform digital ini, pemegang unit individu boleh membuka akaun AHB secara langsung, menyemak pegangan unit, melanggan dan menebus unit serta mengurus maklumat akaun dengan selamat dan cekap,” jelasnya.

Tambah beliau, sehingga April 2025, bilangan pemegang unit AHB di Terengganu sahaja adalah sekitar 2,772 pelabur dengan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM109 juta.

“Justeru, kita mahu tingkatkan angka ini dengan memberi kesedaran mengenai kepentingan celik kewangan dan akses kepada instrumen pelaburan yang stabil serta patuh syariah,” katanya

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa PHB turut merancang untuk memperluas pelaburan ke dalam sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan di Terengganu iaitu dua bidang yang dikenal pasti sebagai berimpak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri dalam jangka panjang.

“Pelaburan strategik ini selaras dengan komitmen PHB terhadap Agenda Ekonomi Madani yang memberi fokus kepada kemampanan, kebolehcapian dan nilai untuk rakyat, terutama di negeri-negeri Pantai Timur,” ujar beliau. – MADANI NEWS