“Ambillah, ambillah… apa yang berkenan di hati!” – Datuk Seri Vida sedekah barangan dalam rumah seperti filem ‘Tiga Abdul’

DALAM suasana yang mengimbau babak ikonik filem P. Ramlee Tiga Abdul, apabila watak Sadiq Sigaraga mengizinkan orang ramai “mengangkut apa yang ada dalam rumahnya”, begitulah suasana yang tercetus di Kampung Batu Tumbuh, Jerteh apabila Datuk Seri Vida semalam yang membuka pintu villanya kepada orang ramai untuk mengambil pelbagai barangan rumah secara percuma.
Program sedekah barangan rumah anjuran usahawan sensasi itu berlangsung dengan penuh semangat kebersamaan apabila ratusan penduduk sekitar Jerteh dan Besut hadir memenuhi jemputan beliau untuk ‘memilih dan membawa pulang’ apa sahaja barangan rumah yang mereka perlukan – dari katil dan tilam, ke sofa, kerusi, meja, almari malah pasu bunga.
“Siapa orang Jerteh atau Besut, boleh datang ambil barang dalam rumah ini. Ada tilam, katil, meja, sofa, pasu bunga dan macam-macam lagi,” kata Vida dalam satu video jemputan yang tular di media sosial sehari sebelum program berlangsung.
Acara yang bermula sekitar jam 3 petang itu menyaksikan aliran masuk yang terkawal dan teratur walaupun sambutannya luar biasa. Kehadiran ramai tidak mencetus kekecohan, sebaliknya mencerminkan semangat gotong-royong dan kesyukuran dalam kalangan penduduk yang menerima bantuan.
Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, barangan yang disedekahkan adalah dalam keadaan baik dan sebahagiannya masih baharu. Ia merupakan sebahagian usaha beliau ‘membersihkan’ rumah sambil bersedekah kepada yang memerlukan.
“Saya nak pahala. Tak semestinya kena tunggu Ramadan baru boleh bersedekah. Saya pun banyak rumah dan banyak barang, jadi lebih baik beri pada orang yang perlukan daripada simpan begitu saja,” katanya kepada media.
Sambutan hangat daripada masyarakat setempat turut mengundang reaksi positif dalam kalangan warganet, yang menyifatkan inisiatif itu sebagai “satu bentuk dakwah melalui tindakan”.
Rumah pink, hati emas
Program tersebut berlangsung di kediamannya di Terengganu yang digelar Baitul Nurly Jannah, sebuah rumah serba mewah berwarna merah jambu terang – kini menjadi saksi bagaimana kekayaan dan kemasyhuran boleh dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat.
Seperti dalam Tiga Abdul, di mana masyarakat kampung mengambil barangan sebagai tanda penebusan keadilan, tindakan Datuk Seri Vida pula menjadi lambang kasih sayang seorang tokoh terhadap rakyat – bukan melalui dialog, tetapi melalui perbuatan nyata.
Bagaimanapun, setakat ini, tidak pasti apakah motif sebenar jutawan tersebut berbuat demikian untuk mengosongkan rumahnya kerana tiada penjelasan dari pihaknya kecuali alasan sedekah. – MADANI NEWS