Hamzah ingatkan Anwar jangan sewenang-wenang buat tuduhan | Madani News

Hamzah ingatkan Anwar jangan sewenang-wenang buat tuduhan

Hamzah ingatkan Anwar jangan sewenang-wenang buat tuduhan

KETUA pembangkang, Datuk Hamzah Zainuddin hari ini mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan melulu terhadap ahli Parlimen lain seolah-olah mereka tidak membuat kajian atau tidak mengikut perkembangan.

Pada masa sama beliau turut membangkitkan isu kenyataan Anwar yang mendakwa  Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu subsidi minyak petroleum.

Beliau menegaskan bahawa Muhyiddin telah memberikan penjelasan secara terbuka dan berlapang dada, serta dengan ikhlas meminta supaya Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun memohon maaf atas tuduhan tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa bezanya di antara pemimpin Perikatan Nasional dan pemimpin kerajaan yang ada. Saya sekali lagi ingin mengingatkan pada Yang Amat Berhormat Tambun, dah banyak kali kita bangkitkan isu prinsip berterus terang. Kalau salah, cakap salah.

‘’Inilah imej Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Supaya kalau boleh, perbetulkan imej ini dengan memohon maaf. Itu kalau dia mohon maaf, kita okey, kita boleh selesaikan,” katanya.

Beliau turut menyentuh jawapan yang diberikan oleh pihak kementerian ketika isu itu dibangkitkan semula oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional, termasuk kenyataan yang menyebut bahawa ia bukan isu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tetapi isu Speaker.

“Tadi bila dibangkitkan isu ini oleh rakan-rakan saya dalam Parlimen terhadap menteri menjawab soalan ini, dia jawab juga, dia kata ini sebenarnya bukan isu MCMC, ini isu Speaker. Beliau jawab sendiri tadi.

“Timbalan Menteri menjawab dan tadi pun Pagoh telah menegaskan seperti apa yang dikatakan dalam MCMC, ada dia keluarkan kenyataan ‘kalau tak pasti jangan kongsi’,” katanya.

Mengenai undi tidak percaya, Hamzah berkata, ia bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung satu lagi usul yang dikemukakan terhadap Anwar.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan pada 24 Julai lalu, bagi merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu Pulau Batu Puteh.

“Bila kita nak buat sesuatu, kita dah ada step dia. Pertama kita dah buat untuk bawa YB Tambun ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Kita nak tengok apa speaker punya respons? Lepas tu baru kita bawa yang satu lagi. Tak boleh kita melangkaui ini sebab kita nak buat itu dulu,’’ katanya.