PRU2008: UMNO bukan kalah di Selangor sahaja tetapi empat negeri lain – Khir Toyo

BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr.Mohamad Khir Toyo menempelak pemimpin UMNO yang menyindir beliau menjadi punca UMNO hilang kuasa di negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2008 apabila memberikan penyapu kepada penjawat awam.
Melalui Facebook beliau, Mohamad Khir yang menyertai parti Bersatu pada Rabu lalu berkata, pada PRU tersebut, UMNO bukan sahaja kalah di Selangor malah turut tumbang di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu.
‘’ BN Selangor kalah lagi teruk (dalam PRU 2013 ) apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Pengerusi BN Selangor, dari 21 kerusi tinggal 12 kerusi DUN. Tanpa penyapu pun, BN terus tewas dari 12 tinggal 6 kerusi DUN (PRU14) dan PRN 2023 dengan bantuan DAP dan PKR, UMNO hanya menang dua kerusi sahaja,’’ katanya.
Beliau berkata, ironinya tak ada seorangpun ketua bahagian UMNO yang mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan mereka. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan meletak semua jawatan di dalam parti tetapi pemimpin UMNO sekarang kalah dalam pilihan raya pun masih pegang jawatan dalam parti.
Mengenai isu penyapu, Mohamad Khir berkata, pemberian hadiah penyapu ini adalah keputusan mesyuarat di antara pegawai-pegawai dalam pihak berkuasa tempatan (PBT).
‘’Mereka yang gagal mencapai tahap minima dalam mengutip cukai, pejabat tersebut akan diberi hadiah penyapu, manakala yang mencapai target diberi hadiah lawatan sambil belajar untuk kurangkan tunggakan di PBT (pihak berkuasa tempatan) masing-masing,’’ katanya.
Pada Rabu lalu, Mohamad Khir berkata, beliau menyertai Bersatu kerana kejujuran pemimpin parti itu berjuang membela nasib bangsa.
‘’Bersatu akan bertanding dengan jumlah kerusi yang mencukupi untuk mereka membentuk kerajaan sama ada di Selangor mahupun di peringkat negara. Soal kalah menang itu ketentuan ilahi,usaha mesti kita lakukan,cita-cita mesti kita perlihatkan dengan kesungguhan.
‘’Lagipun sekarang memang telah nyata Bersatu telah menggantikan UMNO, jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki oleh Bersatu jauh lebih besar daripada UMNO…UMNO pula telah menjadi parti supplement kepada PH,’’ katanya.
Beliau juga menegaskan, tidak bercita cita untuk menjadi pemimpin besar lagi tetapi tidak mahu berjuang dalam parti yang hanya sekadar parti supplement kepada parti lain.