Saifuddin beri jaminan beri perhatian penuh kebajikan keluarga Koperal Hafizul

KEBAJIKAN keluarga anggota polis yang terkorban dirempuh oleh penjenayah di Taman Golf, Alor Setar semalam akan diberikan perhatian sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika memberi jaminan itu berkata, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, mencerminkan keberanian dan semangat juang tinggi anggota barisan hadapan menjaga keselamatan negara.
Katanya, kerajaan akan memastikan segala urusan termasuk pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris disalurkan segera.
‘’Urusan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham juga akan diuruskan oleh PDRM dengan penuh penghormatan yang sewajarnya dengan jasa bakti beliau kepada negara. Tindakan beliau yang tidak gentar berdepan risiko demi memastikan keselamatan awam terpelihara adalah sesuatu yang amat kami hargai dan sanjungi.
“Pengorbanan seperti ini menjadi inspirasi kepada semua barisan anggota keselamatan negara dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM,” katanya.
Beliau berkata demikian kenyataan bagi mengulas kejadian menimpa Mohd Hafizul yang berasal dari Setiu, Terengganu.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia empat hingga 11 tahun maut dirempuh dan digilis kenderaan dinaiki empat penjenayah yang cuba melarikan diri selepas dipercayai melakukan pecah rumah kira-kira 3.30 petang, semalam.
Empat suspek pecah rumah berkenaan sudah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 akta sama kerana pecah rumah.
Hari ini keempat-empat suspek tersebut direman tujuh hari hingga 14 Ogos ini untuk membantu siasatan.
Perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali di Kompleks Mahkamah Alor Setar. Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.