Jadikan RMK-13 perkukuhkan kuasa negeri tanpa dipengaruhi sentimen politik – Ahmad Samsuri

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk memperkukuhkan kuasa negeri agar dapat bergerak lebih pantas tanpa dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian.
Ahli Parlimen Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) berkata, langkah ini bertujuan memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas sekiranya wujud perbezaan pandangan politik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.
Berikut ada ucapan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu ketika membahaskan RMK-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Di dalam ruang perbahasan yang terhad ini, saya yakin semua Ahli Parlimen sudah membangkitkan pelbagai perkara berkait dengan RMK-13. Maksudnya adalah jelas : iaitu kita mahu Malaysia yang lebih baik di masa depan. Mana yang baik kita sokong, mana yang dirasakan ada kelemahan, maka pihak Kerajaan tentunya akan bersikap terbuka dengan pandangan.
Secara umum, saya merasakan bahawa RMK-13 sepatutnya dirangka dengan struktur yang lebih baik berbanding RMK sebelumnya, dengan pendekatan yang lebih baharu. Sama ada ia menyempurnakan program atau inisiatif RMK-12 yang masih belum selesai, mahu pun menambah baik segala kekurangan semua rancangan Malaysia sebelum ini.
Suatu dokumen seperti RMK-13, perlu dilihat berbeza dari Belanjawan Tahunan. Tidak pasti apakah faktornya, namun RMK-13 yang peruntukannya yang lebih besar berbanding RMK-12, sepatutnya mempunyai sasaran dan indikator numerikal yang jelas untuk dicapai, dan dimaklumkan kepada Ahli Dewan untuk dibuat analisanya.
Cooperative federalisme – Pendekatan menyelesaikan masalah rakyat
Tan Sri Yang Dipertua,
RMK-13 seharusnya juga dijadikan peluang untuk memberi nilai tambah kuasa Negeri, atau melakukan reformasi pengurangan kuasa persekutuan (decentralisation) dalam aspek dan kadar tertentu, supaya negeri dapat bergerak dengan lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian.
Ini adalah untuk memastikan jika negeri dan Pusat berbeza politik, ia tidak memberi kesan kepada pembangunan egeri dan kesejahteraan rakyat. Ya saya faham, kita ada kerangka pembahagian kuasa negeri dan Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi kita semua maklum, bahawa keadaan semasa Perlembagaan digubal adalah hampir 70 tahun yang lalu, tentunya berbeza dengan keperluan semasa waktu ini.
Contoh realiti yang sering saya berikan, adalah berkaitan pelaburan ke negeri-negeri. Walaupun diumumkan projek pelaburan yang berbilion-bilion jumlahnya, namun pendapatan dan hasil kepada negeri adalah kecil sahaja.
Kerajaan Negeri hanyalah mempunyai kuasa kutipan cukai yang jumlahnya tersangat kecil, berbanding hasil kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu yang diperolehi oleh kerajaan Pusat.
Malaysia perlu mempertimbangkan kesesuaian untuk beralih kepada model cooperative federalism dan juga fiscal federalism – di mana penyelesaian masalah rakyat menjadi keutamaan, mengatasi sempadan kerangka perlembagaan yang direkabentuk untuk menyediakan kemerdekaan negara pada tahun 1957.
Ini memerlukan pendekatan baharu dalam menyelaras dasar, pelaksanaan projek dan pengagihan sumber, termasuklah pembahagian kuasa percukaian yang lebih meluas supaya negeri memperolehi hasil yang lebih baik berbanding dengan kerangka yang ada pada masa ini.
Di bawah semangat cooperative dan fiscal federalism, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Geran Khusus Persekutuan & Negeri, di bawah Akta baharu yang boleh digubal, menggunakan kuasa di bawah Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan.
Ini membolehkan peruntukan diberikan secara terus kepada negeri bagi melaksanakan projek nasional atau keutamaan negeri – tanpa ketirisan, birokrasi atau kelewatan agensi pusat. Justeru, saya juga ingin mencadangkan penubuhan Suruhanjaya bagi mengkaji Transfomasi Pembangunan Negara yang antara lainnya
– Menilai keberkesanan pelaksanaan RMK – RMK sebelum ini;
– Mengaudit sistem pemberian semasa (geran am, geran khas, perkongsian hasil dan sebagainya);
– Mencadangkan pendekatan baru seperti Equalization Payment dan Fiscal Stabilization Programme yang terbukti berkesan di negara-negara persekutuan seperti Jerman, Kanada dan Australia;
– Dan paling penting, memastikan penyertaan semua negeri melalui wakil rasmi dalam Suruhanjaya ini, agar semangat federalisme yang tulen dapat ditegakkan.
Rakyat sebenarnya tidak peduli siapa yang bertanggungjawab, sama ada Persekutuan atau negeri – apa yang penting, masalah mereka diselesaikan.
Perancangan pembangunan Terengganu
Setelah meneliti dokumen utama RMK-13 dan membelek semula Kajian Separuh Penggal RMK-12 dan dokumen asal RMK-12, saya berpandangan bahawa terdapat pengurangan ketara antara kedua-dua rancangan Malaysia ini.
Untuk Terengganu, RMK-12 telah meletakkan asas yang kukuh bagi penyediaan peruntukan pembangunan yang lebih besar, sekali gus mensasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu.
Namun, RMK-13 hanya melibatkan Terengganu dalam enam (6) strategi sahaja daripada keseluruhan 122 strategi. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan juga hanya menyasarkan purata kadar pertumbuhan tahunan KDNK Terengganu 4.8 peratus, iaitu lebih rendah daripada sasaran di dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 (6.0%) dan RMK-12 (6.6%) bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Sedangkan, Kerajaan Negeri sendiri menyasarkan, untuk mencapai pertumbuhan sehingga 6.6 peratus menjelang tahun 2030, atau secara puratanya 5.4 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Apa yang kita mahu ialah, kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membawa masuk program / projek infra yang berimpak tinggi (high impact), dan pemacu utama (key enabler) ke Terengganu, bagi melonjakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini dan ke wilayah Pantai Timur.
Inilah juga yang kita harapkan, iaitu pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3). Sedangkan, menerusi RMK-12 sebelum ini, kerja awalan seperti siasatan dan kerja ukur tanah, serta penilaian impak trafik telah pun dimulakan dan telah pun disiapkan pada akhir tahun 2022.
Selain itu, pada Februari 2025 yang lepas, Kerajaan Persekutuan memaklumkan sedang meneliti aspek jajaran dan pendekatan pembangunan yang akan dilaksanakan bagi projek ini.
Selain LPT3, saya juga mengharapkan pengumuman daripada YAB Tambun (Perdana Menteri), mengenai rancangan pelaksanaan Economic Accelarator Project (EAP), di sepanjang jajaran ECRL di semua Negeri laluan ECRL, di mana di Terengganu ada sejumlah enam pembangunan berorientasikan transit (TOD), empat taman perindustrian dan sebuah hab logistik.
Satu perkara lagi yang menghairankan saya, adalah mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu.
Ketika YAB Tambun mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor Pertanian Terengganu disasarkan hanya 1.1 peratus.
Sedangkan, perikanan dan akuakultur juga adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi biru. Sub-sektor tanaman dan penternakan Terengganu juga, telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu, untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030, atau secara puratanya 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Merumuskan kesemua isu-isu ini, saya memohon YAB Tambun dan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan, dan memperjelaskan tuntutan-tuntutan berikut:
i. Membayar kepada Kerajaan Negeri, hasil daripada petroleum seperti sebelum YAB Tambun menjadi Perdana Menteri, iaitu sebanyak dua kali setahun, dan sejumlah seperti yang dianggarkan, sekali gus membatalkan kesemua kawalan tidak perlu yang dikenakan pada ketika ini bagi membelanjakan peruntukan ini.
ii. Menambah jumlah peruntukan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Terengganu, bagi menyelenggara dan menaik taraf kawasan perindustrian, sekali gus menggalakkan pelaburan dalam industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi.
iii. Meningkatkan nilai bantuan fiskal dan bukan fiskal, bagi menjamin ketersediaan (readiness) perkhidmatan, dan produk pelancongan di Terengganu, dalam menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membantu MOTAC mencapai sasarannya.
iv. Menaik taraf dan menyelenggara institut latihan yang beroperasi di Terengganu, bagi mengarus perdanakan program TVET, sekali gus menyokong keperluan bakat oleh industri, dan merealisasikan visi Dasar TVET Negara 2030.
v. Menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan bekalan makanan di Terengganu, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara.
Saya juga ingin mencadangkan, agar Kerajaan Persekutuan menjadikan sektor pertanian, sebagai identiti teras Malaysia yang perlu diberikan tumpuan penuh dan diangkat sebagai Agenda Nasional, selain menjadikan mega-trend lain terkini di peringkat global seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan teknologi sebagai fokus pembangunan jangka panjang.
Lihatlah agenda nasional yang pernah kita berikan tumpuan suatu ketika dahulu, ke mana kesan dan hasilnya pada masa kini? Adakah ia menjadi pemacu ekonomi negara kita? Atau ia sekadar trend semasa yang dijadikan tumpuan sehingga kita terlepas fokus yang sepatutnya?
Pembangunan rantaian nilai REE
Tan Sri Yang Dipertua,
Pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) kini dirancang untuk diperluas kepada lima (5) aspek, iaitu; perlombongan, penulenan & pengasingan, pembangunan industri hiliran & pertengahan, penyediaan kepada produk eksport serta penjagaan alam sekitar.
Ia adalah sesuatu yang baik, memandangkan industri ini bakal menghasilkan pulangan yang besar kepada negeri dan juga negara, sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
Bagi merancakkan lagi pembangunan industri NREE di negara kita, saya mencadangkan agar diwujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE, yang memberikan fokus terhadap pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi dan pemulihan tanpa sisa. Atau dengan kata lain, dengan izin (advance material processing, NREE metallurgy & zero- waste recovery).
Walaupun saya menyokong penuh pembangunan industri NREE ini, namun sepanjang penelitian saya terhadap perinciannya di dalam RMK-13, penekanan terhadap hak negeri kurang diberikan perhatian. Sedangkan REE ini di bawah bidang kuasa negeri yang tertakluk di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang paling membimbangkan kami di negeri, seingat rekod yang Negeri ada, pihak negeri tidak pernah dilibat urus mengenai tuntutan perolehan pihak Amerika Syarikat terhadap NREE di Malaysia, seperti yang dilapurkan oleh media asing sebagai salah satu syarat perundingan tarif dengan Kerajaan Amerika Syarikat.
10 keutamaan dalam Pembangunan R&D
Tan Sri Yang Dipertua,
RMK-13 secara aktifnya, dilihat bukan sahaja menekankan pembangunan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), bahkan turut meletakkan secara selari aspek pengkomersialan dan inovasi ( C & I ), menjadikannya R & D & C & I.
Dalam hal ini, kita juga tidak wajar “re-invent the wheel”, tetapi lebih sesuai memilih “teknologi strategik” yang ingin dibangunkan sebagai keperluan niche Negara, dan diangkat sebagai Agenda Nasional.
Dalam hal ini, suka untuk saya mencadangkan lima (5) proses keutamaan, agar pertambahan peruntukan bagi aspek R & D & C & I ini menghasilkan impak maksimum kepada rakyat dan negara:
– Pertama; Menetapkan sasaran kenaikan perbelanjaan R&D secara berperingkat, dan mewujudkan mekanisma pemantauan yang efektif.
– Kedua; Membangunkan modal insan berkualiti tinggi, melalui pelaksanaan program kajian lanjutan (PhD atau post-doctorate), bertemakan R&D berimpak tinggi dengan sokongan biasiswa yang kompetiti,f dan peluang kerjaya di dalam industri.
– Ketiga; Memperkukuh ekosistem kolaborasi sektor awam-swasta-akademik, melalui galakan program mobiliti antara universiti, institusi penyelidikan dan industri, bagi mempercepat proses pemindahan teknologi serta kemudahan prototaip (rapid prototyping)
– Keempat; Mengarahkan pendekatan yang berfokus, kepada sektor yang menjadi kelebihan kepada negara dan keperluan setempat seperti industri pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi halal.
– Kelima; Memantau dan menilai secara berterusan dasar yang berpandukan R&D, dan aliran peruntukan secara data-driven, untuk menghasilkan impak yang maksimum.
Mengakhiri ucapan saya, semoga segala cadangan dan komentar yang diberikan di dalam ruang yang terhad ini, dapat dijadikan sebagai teladan dan penambahbaikan di dalam RMK-13, demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.
Sekian, terima kasih.