‘’Jangan lupa Gaza, jangan lupa saya dalam doa kalian’’ – wasiat terakhir wartawan Al Jazeera

SEMPURNALAH sudah agenda rejim Zionis untuk membunuh wartawan Al Jazeera apabila mereka melancarkan serangan udara yang menyasarkan khemah media berhampiran Hospital al-Shifa, di Gaza, City semalam.
Dalam kejadian itu Wartawan Al Jazeera terkenal, Anas al-Sharif bersama empat lagi kakitangan stesen televisyen tersebut maut melalui serangan yang sememangnya dirancang oleh Israel.
Beberapa jam sebelum kematiannya, Anas memuat naik video serangan udara ke platform X.
“Pengeboman tidak berhenti… sejak dua jam lalu, serangan Israel semakin intensif di Bandaraya Gaza.” Dan ia diikuti hantaran terakhir melalui akaun Instagram miliknya.
“Ini adalah wasiat terakhir saya. Jika kata-kata ini sampai kepada anda, ketahuilah bahawa Israel telah berjaya membunuh saya dan membisukan suara saya. Jangan lupakan Gaza… dan jangan lupakan saya dalam doa kalian.”
Anas al-Sharif, 28, dikenali sebagai antara suara paling lantang dari Gaza, sering melaporkan secara langsung dari zon konflik paling berbahaya.
Beliau terbunuh bersama wartawan Mohammed Qreiqeh dan tiga jurukamera lain—Mohammed Noufal, Ibrahim Zaher dan Moamen Aliwa—dalam serangan ke atas khemah media yang terletak di dalam kompleks hospital.
Pengarah Hospital al-Shifa, Dr Muhammad Abu Salmiya, mengesahkan bahawa serangan itu turut merosakkan jabatan kecemasan dan menyebabkan tujuh kematian keseluruhan.
“Khemah media itu dibom secara langsung. Mereka tiba di jabatan kecemasan dengan kecederaan parah, namun tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Tentera Israel mendakwa Anas mengetuai sel Hamas yang menyamar sebagai wartawan dan terlibat dalam serangan roket, namun dakwaan itu ditolak oleh Al Jazeera dan kumpulan hak asasi seperti Committee to Protect Journalists (CPJ).
“Tuduhan tidak berasas ini adalah cubaan untuk menghalalkan pembunuhan wartawan,” kata CPJ dalam kenyataan rasmi.
Al Jazeera menyifatkan serangan itu sebagai “cubaan sistematik untuk membungkam kebenaran” dan menyeru masyarakat antarabangsa agar melindungi wartawan di zon konflik.
“Jangan biarkan suara Gaza dibisukan. Wartawan kami adalah saksi kepada penderitaan yang tidak boleh dinafikan,” kata rangkaian media itu.