Demi hubungan sulit, ibu sanggup biarkan kekasih dera anak kandung sampai mati | Madani News

Demi hubungan sulit, ibu sanggup biarkan kekasih dera anak kandung sampai mati

Demi hubungan sulit, ibu sanggup biarkan kekasih dera anak kandung sampai mati
FA menunjukkan bagaimana dia mendera dan mencekik hingga mati anak kekasihnya.

DEMI hubungan sulit dengan kekasihnya, seorang ibu sanggup bersekongkol untuk membunuh anak kandungannya yang berusia 3 tahun dalam satu kejadian menggemparkan di Cilacap, Jawa Tengah.

Kanak-kanak tersebut didera hingga mati oleh kekasih wanita tersebut yang merupakan lelaki Aceh berusia 21 tahun.

Lelaki itu yang dikenali sebagai FA menganggap kanak-kanak berkenaan menjadi penghalang hubungan sulit mereka.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Cilacap, Guntar Arif Setyoko berkata, FA mengenali wanita itu yang disebut sebagai RI ketika bekerja di sebuah koperasi kewangan.

‘’RI adalah salah seorang pelanggan koperasi tersebut dan hubungan terlarang itu diakui suspek baru sebulan terjalin. Anak kecil itu menunjukkan rasa tidak suka setiap kali FA datang ke rumah ketika bapanya (suami RI) bekerja di Jakarta,’’ katanya lapor Kompas.com.

Dengan pengetahuan RI, FA kemudiannya membuat perancangan untuk mendera AK di sebuah bukit pada Khamis lalu. 

‘’Kanak-kanak itu dijemput FA dan dibawa ke lokasi tersebut sebelum diseksa sebelum dicekik hingga mati,’’ katanya. 

Perbuatan kejam berkenaan mencetuskan kemarahan kepada penduduk memandangkan pembunuhan direstui oleh ibu kandung kanak-kanak itu.

Perbuatan jahat FA dan RI terbongkar apabila bapa kanak-kanak itu, DK meragui kematian anaknya ketika dimaklumkan oleh isterinya (RI) bahawa anak mereka meninggal dunia akibat terjatuh di sekitar rumah.

‘’Ayah mangsa bekerja di Jakarta, dia tidak percaya anaknya meninggal dunia sepertimana dinyatakan oleh isterinya. Oleh itu dia membuat laporan polis sehingga memungkinkan FA dan RI ditahan atas tuduhan melakukan pembunuhan,’’ kata Guntar.