Kerajaan belanja RM8.4 juta untuk edar Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar seluruh negara.

KERAJAAN membelanjakan RM8.4 juta untuk memperoleh lencana Jalur Gemilang yang diedarkan kepada lebih 5.14 juta pelajar di seluruh negara, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, peruntukan itu meliputi pelajar di sekolah, kolej matrikulasi, kolej Tingkatan Enam, dan institut pendidikan guru (IPG), dengan masing-masing menerima dua lencana secara percuma.
“ Peruntukan ini telah disalurkan kepada semua jabatan pendidikan negeri (JPN) dan institusi pendidikan yang berkenaan pada bulan Februari 2025. Peruntukan ini diselaraskan mengikut enrolmen murid dan pelajar,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukan oleh Abdul Latiff Abdu Rahman (PN-Kuala Krai).
Abdul Latiff ingin mengetahui kos dan pembekal yang terlibat, serta langkah menangani keselamatan pelajar dan kerosakan pakaian seragam.
Fadhlina berkata proses perolehan itu dijalankan oleh pejabat pendidikan negeri dan daerah (PPD), serta institusi masing-masing melalui sistem ePerolehan, sama ada melalui tender atau sebut harga, bergantung kepada peruntukan yang diterima.
“JPN juga telah diberi kebenaran untuk melaksanakan perolehan mengikut zon bagi menyegerakan proses pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal yang layak.
“Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang seluruh negara,” katanya.
Menurut garis panduan kementerian, lencana hendaklah diperbuat daripada plastik akrilonitril butadiene stirena (ABS) dengan plat keluli dan bahagian atas timbul epoksi, berukuran 5cm panjang dan 2cm lebar.
Beliau berkata, pemakaian lencana Jalur Gemilang adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan untuk menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.
“KPM telah menyediakan garis panduan ketika memakai lencana Jalur Gemilang kepada semua institusi pendidikan bawah KPM. Walau bagaimanapun, ibu bapa diberi keluwesan dalam menyediakan lencana Jalur Gemilang tambahan bersaiz sama dengan material yang bersesuaian,” katanya.