‘’Dia dibelasah hingga hilang nyawa’’ dakwa ibu Allahyarham Syamsul Haris | Madani News

‘’Dia dibelasah hingga hilang nyawa’’ dakwa ibu Allahyarham Syamsul Haris

‘’Dia dibelasah hingga hilang nyawa’’ dakwa ibu Allahyarham Syamsul Haris

‘’Jadi sebagai naluri ibu, berdasarkan keadaan jenazahnya, dia sebenarnya dibuli dan didera manakala kecederaan dialami akibat dipukul, ditendang dan dibelasah hingga hilang nyawa.’’

Demikian ditegaskan oleh Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.

Pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 mendedahkan Allahyarham sering memberitahu beliau ada orang tidak berpuas hati dengannya.

‘’Saya percaya ramai orang tidak berpuas hati dengan anak saya kerana seorang yang bijak. Arwah sering beritahu dari semasa ke semasa ada orang tidak puas hati sebab dia ‘perform’, tapi saya cakap kalau minat dia kena hadap risiko. Selain itu, dia juga ada maklum ada juga yang ‘provoke’ nama Gopal, sedangkan namanya Syamsul Haris,’’ katanya.

Ummu Haiman Bee berkata, ketika majlis pengebumian anak sulungnya di Semenyih, terdapat satu bas kadet dari PALAPES datang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada anaknya.

Katanya, apabila dia cuba mendekati mereka bertanyakan apa berlaku kepada anaknya, mereka hanya maklumkan tidak tahu dan tidak nampak.

“Kami juga dihalang mendekati kadet berkenaan dan mereka juga dihalang mendekati kami oleh pegawai yang berada di situ,” katanya lapor Berita Harian.

Ummu Haiman berkata, seawal menerima panggilan telefon memaklumkan anaknya meninggal dunia, sudah banyak percanggahan maklumat diterima.

Katanya, pada 28 Julai lalu kira-kira jam 4 petang, dia mendapat panggilan telefon anaknya dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Kota Tinggi akibat sawan, meracau dan hilang pertimbangan ketika mengikuti perkhemahan latihan menembak di Ulu Tiram.

Namun, katanya, pada jam 4.30 petang dia mendapat panggilan yang anaknya sudah meninggal dunia dan meminta adiknya ke hospital untuk menuntut jenazah.

“Namun selepas mendapat maklumat mengatakan berlaku pergaduhan di tempat latihan dan saya terus ke sana bersama dua lagi adik untuk melihat jenazah. Kira-kira jam 4.30 pagi saya berpeluang melihat jenazah dan saya lihat keadaannya sangat menyayat hati seperti dipukul, diterajang dan dibelasah.

“Saya cuba buka kain yang menutup anak, tetapi dihalang dan saya juga dihalang mengambil gambar anak membuatkan saya curiga mengapa tidak dibenarkan berbuat demikian,” katanya.

Wanita itu mendakwa, dia juga sekali lagi dihalang membuat laporan polis kerana dimaklumkan sudah ada laporan dibuat sebelum itu walaupun sudah meminta penjelasan apa isi laporan berkenaan.

“Banyak percanggahan maklumat mengenai kes anak saya termasuk waktu dia dibawa ke hospital. Saya dimaklumkan oleh pihak Unit Rawatan Rapi (ICU) dia sebenarnya dibawa ke hospital pada jam 6.23 petang dalam keadaan sudah meninggal dunia, tetapi kenyataan polis pula mengatakan dia meninggal dunia ketika mendapat rawatan,” katanya.

Beliau berkata, ketika jenazah anaknya dimandikan oleh pihak PALAPES, dia meminta untuk turut serta tetapi diminta untuk tunggu di luar terlebih dahulu.

“Saya tunggu tetapi tidak sangka jenazah anak terus dikafankan tanpa saya sempat mandikan. Di sini, saya nampak berlaku komplot antara beberapa pihak yang bekerjasama seakan menutup sesuatu. Jadi di sini saya mahu tuntut keadilan. Saya mahu tahu punca kematiannya kerana tidak setuju dengan punca kematian yang diberikan.

“Saya mahu kuburnya digali supaya dijalankan sekali lagi bedah siasat,” katanya yang turut kecewa kerana jawatankuasa yang diwujudkan untuk menyiasat kes itu masih belum memberikan apa-apa perkembangan terkini.

Hari ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata jawatankuasa khas yang diwujudkan di bawah Kementerian Pertahanan bagi menyiasat kes kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, akan membuat kajian dan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar itu.