KPM tempatkan pengetua, penolong kanan dan warden SMKA Tun Datu Mustapha di JPN Sabah

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
KPM dalam satu kenyataan menyatakan keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut adalah keutamaan KPM pada masa ini.” kata kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.
KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terbabit.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan kubur Zara perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur remaja berkenaan digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama. – MADANI NEWS