Bukit Aman akan rakam keterangan 3 pegawai polis dalam kes Zara Qairina – Ayob Khan

“Siasatan ini melibatkan ketidakpatuhan SOP siasatan kes Zara Qairina serta aspek penyeliaan terhadap pegawai penyiasat” – Ayob Khan Mydin Pitchay
JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menghantar pasukan ke Sabah bagi merakam keterangan tiga pegawai kanan polis yang dikaitkan dengan siasatan awal kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata JIPS sudah membuka Kertas Siasatan Tatatertib terhadap tiga pegawai berkenaan, iaitu Ketua Polis Daerah berpangkat superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah berpangkat asisten superintenden, serta seorang pegawai penyiasat berpangkat inspektor.
Mereka disyaki melakukan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes Zara.
“Pegawai JIPS Bukit Aman akan ke Sabah dalam tempoh satu atau dua hari lagi bagi mengambil keterangan ketiga-tiga pegawai terbabit. Siasatan ini melibatkan ketidakpatuhan SOP siasatan kes Zara Qairina serta aspek penyeliaan terhadap pegawai penyiasat,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka, malam tadi.
Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai penyiasat dan penyelia, sekiranya terbukti berlaku pelanggaran SOP. Buat masa ini, ketiga-tiga pegawai tersebut masih bertugas seperti biasa.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, mendedahkan dapatan awal Pasukan Petugas Khas menunjukkan wujud unsur ketidakpatuhan SOP oleh pegawai penyiasat dalam kes itu.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, keesokan harinya.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews