Polis Dubai gagalkan cubaan mencuri 'pink diamond' bernilai RM105.56 juta | Madani News

Polis Dubai gagalkan cubaan mencuri ‘pink diamond’ bernilai RM105.56 juta

Polis Dubai gagalkan cubaan mencuri ‘pink diamond’ bernilai RM105.56 juta

Untuk memperdayakan peniaga tersebut, mereka menyewa kenderaan mewah, menempah bilik mesyuarat di hotel lima bintang dan membawa individu yang didakwa sebagai ‘pakar berlian’.

POLIS Dubai berjaya menggagalkan percubaan mencuri berlian merah jambu (pink diamond) bernilai Dirham 1.8 juta (RM105.56 juta)

Khaleej Times melaporkan, cubaan rompakan itu dilakukan oleh tiga individu warganegara Asia yang merancang dengan rapi jenayah tersebut.

Bagaimanapun pihak berkuasa berjaya mengesan dan menangkap kesemua dalam tempoh hanya lapan jam selepas kejadian berlaku.

Berlian itu diklasifikasikan sebagai Fancy Intense, seberat 21 karat dan mempunyai ketulenan tertinggi. Ia dianggap sebagai salah satu yang paling jarang didapati di dunia – dengan kadar kelangkaan (permintaan) global hanya 0.01 peratus.

 Menurut Pejabat Media Dubai,  kumpulan itu dikatakan membuat perancangan mereka selepas mengetahui berlian tersebut baru tiba di Dubai dari Eropah.

Dengan  menggunakan identiti palsu, suspek menghubungi peniaga berlian itu dan menyamar sebagai perantara untuk “pembeli kaya”.

Untuk memperdayakan peniaga tersebut, mereka menyewa kenderaan mewah, menempah bilik mesyuarat di hotel lima bintang dan membawa individu yang didakwa sebagai ‘pakar berlian’.

Strategi mereka berjaya meyakinkan peniaga untuk mengeluarkan berlian berkenaan dari tempat simpanannya dan membawa ke vila peribadi bagi dipamerkan.  Ketika berlian tersebut berada di situ, mereka mengambil  peluang untuk mencurinya. 

Sejurus selepas kecurian dilaporkan, Polis Dubai melancarkan operasi tindak balas pantas. Jabatan Am Siasatan Jenayah dan Kriminologi menggunakan teknologi pengawasan dan pengesanan lanjutan untuk mengenal pasti suspek.

 Kesemua mereka diberkas di lokasi berasingan selepas berpecah bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa manakala  berlian yang dicuri itu ditemui semula disembunyikan di dalam peti sejuk kecil – di mana kumpulan itu berhasrat untuk menyimpannya buat sementara waktu sebelum menyeludupnya ke negara Asia yang tidak didedahkan.

 Peniaga yang menjadi mangsa dalam kejadian tersebut  memuji tindakan pantas dan profesionalisme pihak berkuasa.

”Saya terkejut, pada keesokan harinya, mereka menelefon untuk memberitahu suspek telah ditangkap dan berlian itu ditemui semula,” katanya.