Malaysia tewaskan Palestin selepas menanti 24 tahun, Figueiredo jadi wira

MALAYSIA meraih kemenangan keempat dalam era Peter Cklamovski dengan menewaskan Palestin dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bahru malam ini, yang merupakan pasukan ke-98 ranking dunia.
Kali terakhir Malaysia berjaya menembusi gawang Palestin adalah pada tahun 2001, ketika meraih kemenangan 4-3 dan tewas dalam semua perlawanan selepas itu.
Kemenangan yang memberi kenangan manis malam ini diperoleh melalui jaringan seawal minit kedua menerusi Joao Figueiredo yang membuat tolakan mudah selepas menerima hantaran lintang cantik daripada Quentin Cheng.
Rodrigo Holgado diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Malaysia, manakala penjaga gol Palestin, Rami Hamadeh pula membuat penampilan ke-59 di pentas antarabangsa.
Pasukan negara menguasai permainan di separuh masa pertama dengan melakukan serangan demi serangan melalui gandingan Arif Aiman, Quentin, Figueiredo dan Holgado di barisan hadapan.
Palestin juga terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Cklamovski membuat beberapa pertukaran seperti memasukkan Corbin Ong menggantikan Dominic Tan.
Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi hampir menggandakan kelebihan Harimau Malaya pada minit ke-50. Malangnya, percubaan deras beliau dinafikan penjaga gol Palestin.
Penyerang Columbus Crew, Wessam Abou Ali hampir menyamakan kedudukan buat Palestin. Walau bagaimanapun, percubaannya berjaya dinafikan Syihan.
Pemain Raith Rovers, Richard Chin merealisasikan impiannya mewakili skuad negara apabila dia dimasukkan menggantikan Quentin pada minit ke-80.
Palestin terus berusaha memberi tekanan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan walaupun berpeluang mendapat gol di minit terakhir melalui sepakan percuma yang terkena tiang gol.
Kecemerlangan penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi juga antara faktor gawang [asukan negara tidak dibolosi apabila sering menyelamatkan percubaan daripada pasukan lawan.
Ini menyaksikan Malaysia terus kekal tanpa kalah di bawah bimbingan Cklamovski kepada lima perlawanan.
Kemenangan ini dijangka melonjakkan ranking Malaysia ke kedudukan ke-120 terbaik dunia. Ini juga dijangka menyuntik keyakinan Harimau Malaya menghadapi kelayakan Piala Asia 2027 yang bersambung pada Oktober ini. – MADANI NEWS