Holgado dan kelab diwakilinya kemuka rayuan kepada FIFA | Madani News

Holgado dan kelab diwakilinya kemuka rayuan kepada FIFA

Holgado dan kelab diwakilinya kemuka rayuan kepada FIFA

KUALA LUMPUR: Kelab yang diwakili Rodrigo Holgado, America de Cali akan berhubung rapat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas pemain itu digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pasukan berpangkalan di Colombia itu dalam satu kenyataan turut mengesahkan mereka sudah menerima makluman mengenai hukuman yang dikenakan badan induk bola sepak antarabangsa itu kepada Holgado.

“America de Cali ingin memaklumkan kepada penyokong, media dan orang awam bahawa kami sudah menerima pemberitahuan mengenai hukuman yang dikenakan FIFA terhadap Rodrigo Holgado yang membabitkan penggantungan selama 12 bulan daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

“Hukuman ini berkuat kuasa mulai tarikh pemberitahuan diterima. FAM dan pemain terbabit akan mengemukakan rayuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kod Tatatertib FIFA dengan tujuan agar keputusan ini disemak semula oleh pihak yang berkenaan.

“Jabatan Perundangan America de Cali akan terus berhubung rapat dengan FAM untuk mengikuti perkembangan proses ini,” kata pasukan itu, lapor BH Online.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. – MADANI NEWS