The Ladies akan menjadi kejohanan sebutan pemain golf wanita dunia – Lee Kim Yew

THE Ladies’ Golf Tournament 2025 akan menjadi kejohanan golf antarabangsa yang menjadi sebutan ramai terutama pemain golf wanita dunia dalam tempoh lima tahun, kata Pengerusi Yayasan Country Heights, Tan Sri Lee Kim Yew.
Kejohanan yang bertujuan mengiktiraf sumbangan pemain golf wanita tempatan dan antarabangsa bermula tahun ini pada 12 hingga 15 Oktober 2025 di Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor, sebelum diperkembangkan ke peringkat ASEAN dan jemputan antarabangsa.
Kejohanan tahun ini menghimpunkan 60 pemain wanita terbaik Malaysia – terdiri daripada 30 pemain profesional dan 30 pemain amatur – yang akan bersaing dalam acara 54 lubang stroke play tanpa penyingkiran (no cut), dengan jumlah hadiah keseluruhan RM100,000 dan hadiah utama RM17,500 untuk juara.
Kim Yew berkata, penganjuran kali ini mendapat perhatian lebih besar dengan tumpuan utama untuk meningkatkan tahap permainan golf wanita tempatan, menarik minat penaja serta memperluas pasaran ke peringkat global.
“Selain meningkatkan nilai hadiah, kami juga memperkenalkan hadiah unik bagi pencapaian tertentu seperti birdie berturut-turut, par berturut-turut serta hadiah ‘hole-in-one’. Langkah ini mampu menambah keterujaan dan memberi motivasi kepada pemain,” katanya.
Beliau berkata demikain pada majlis pelancaran rasmi trofi kejohanan tersebut di Mines Resort & Golf Club hari ini. Turut hadir Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor
Kejohanan itu anjuran Mines Resort & Golf Club bersama Professional Golf of Malaysia (PGM) dengan sokongan Persatuan Golf Malaysia (MGA) akan dikendalikan oleh sebuah syarikat penganjuran khusus ditubuhkan untuk tujuan tersebut.
Syarikat dengan modal permulaan RM20 juta itu akan berada di bawah Golden Horse Digital Investment Bank. yang disasar berkembang sehingga RM50 juta dalam masa terdekat, katanya.
“Ini bukan sekadar pertandingan; ia adalah peluang meraikan golongan profesional wanita, memberi keyakinan, serta membina legasi persahabatan, kekeluargaan dan nilai murni dalam dunia sukan,” katanya.
Lee turut mendedahkan pihaknya merancang memperluaskan acara sama ke Indonesia dan Kemboja sebagai destinasi kedua dalam siri penganjuran kejohanan ini di peringkat ASEAN.
Selain itu, inisiatif amal juga diperkenalkan apabila media serta tetamu diberi peluang menyertai program pembelian khas pada hari terakhir acara, dengan hasil disalurkan kepada badan kebajikan.