Israel perlu bebaskan aktivis Malaysia dalam tempoh tiga hari – Peguam | Madani News

Israel perlu bebaskan aktivis Malaysia dalam tempoh tiga hari – Peguam

Israel perlu bebaskan aktivis Malaysia dalam tempoh tiga hari – Peguam

ISRAEL diberi tempoh tiga hari untuk membebaskan aktivis Malaysia yang ditahan di Kem Ktzi’ot selepas mereka menandatangani borang Request For Immediate Departure atau Permohonan Pelepasan Segera.

Menurut peguam Global Sumud Flotilla (GSF), Dir Kheizwan Kamaruddin, penandatanganan borang itu adalah syarat utama bagi memastikan pembebasan segera tanpa memanjangkan tempoh tahanan.

“Selepas borang ditandatangani, mereka mesti dibebaskan dalam masa 72 jam. Tahanan tidak wajar dibebankan dengan proses yang berlarutan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dir Kheizwan, yang kini berada di Amman, Jordan bersama empat lagi peguam daripada CENTHRA, berkata Israel bertanggungjawab menghantar pulang rakyat Malaysia terbabit melalui sempadan yang ditentukan, sama ada ke Jordan atau Mesir.

Katanya lagi, peguam daripada Adalah – The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel telah dibenarkan bertemu dengan aktivis Malaysia terbabit dan mengesahkan mereka berada dalam keadaan baik, selamat serta bersemangat tinggi.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah, personaliti media sosial Farah Lee, penyanyi Zizi Kirana, pempengaruh Ardell Aryana, pendakwah PU Rahmat serta beberapa aktivis lain.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih 500 aktivis dari 45 negara yang menyertai misi GSF belayar ke Gaza sebagai tanda solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel. – MADANI NEWS