22 pemimpin tertinggi GISB dijatuhkan hukuman penjara, denda
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holding Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Ali dan 21 pemimpin tertinggi yang lain kerana menjadi anggota GISBH yang merupakan sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang menjatuhkan hukuman itu selepas ahli-ahli tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 pagi ini.
Dia menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan kepada 12 tertuduh lelaki, bermula dari tarikh tangkapan mereka pada tahun 2024 dan denda RM4,500 kepada sembilan tertuduh wanita. Mahkamah turut memerintahkan kesemua sembilan wanita itu dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Peguam tertuduh, Rosli Kamaruddin, ketika mitigasi meringankan hukuman berkata, bahawa semua tertuduh telah bertaubat dan mengakui kesalahan mereka menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
“Semua tertuduh menyesal kerana mengikuti jalan yang salah,” memetik laporan Malaysiakini.
Sebelum ini, Nasiruddin dan isterinya, Azura Yusof serta 20 individu lain pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjadi ahli jenayah terancang di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lima dan 20 tahun.
Walau bagaimanapun, mereka telah menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 26 Mei dalam mencadangkan beberapa perubahan pada pertuduhan mereka, termasuk supaya pertuduhan itu dirangka di bawah Seksyen 43 di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Selain Nasiruddin, 66, dan isterinya Azura Md Yusof, 58,, mereka yang lain itu adalah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 33, Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.
Lapan lagi tertuduh wanita ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.
Mereka sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan, namun Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi dikemukakan kesemua tertuduh bagi mengkaji pertuduhan dihadapi mereka.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, kesemua mereka didakwa menjadi anggota GISBH yang merupakan sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Norinna Bahadun. – MADANI NEWS
