Selangor umum ‘bonus’ tiga bulan gaji untuk penjawat awam
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah tiga bulan gaji bagi penjawat awam negeri sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menjayakan agenda reformasi Selangor Juara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu melibatkan satu bulan setengah gaji yang telah pun dibayar pada awal tahun ini, manakala baki satu bulan setengah lagi dengan kadar minimum RM1,000 akan disalurkan pada 18 Disember depan.
Beliau berkata, langkah itu merupakan dorongan kepada seluruh penjawat awam agar terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan selaras aspirasi pentadbiran negeri memasuki era baharu pembangunan.
“Komitmen semua pihak amat penting untuk merealisasikan hasrat Selangor Juara. Bantuan ini adalah tanda penghargaan atas khidmat mereka,.
“Selain penjawat awam, BKK turut merangkumi pemimpin masyarakat termasuk Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun, Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya serta Penggerak Belia Selangor yang masing-masing akan menerima satu bulan elaun,” katanya pada sidang akhbar selepas dibentangkan dalam Belanjawan 2026 di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, katanya, petugas masjid di seluruh negeri turut menerima sumbangan RM500 melalui Menteri Besar (Pemerbadanan), sebagai sokongan terhadap peranan mereka mengimarahkan institusi masjid. – MADANI NEWS
