‘Pak guard’ warga Nepal ditahan polis disyaki liwat kucing
PETALING JAYA: Lelaki Nepal yang disiasat kerana disyaki meliwat seekor kucing di pangsapuri, Kota Kemuning, Shah Alam, kini direman 14 hari lagi kerana bekerja tanpa permit.
Pemangku Ketua Polis Shah Alam, Ramsay Embol, berkata suspek 33 tahun itu memiliki pasport masih sah, namun tiada permit bekerja.
Beliau berkata, suspek dipercayai berada di Malaysia selama enam tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri tersebut, sejak dua bulan lalu.
“Semakan awal mendapati lelaki Nepal yang masih bujang itu tiada permit kerja dan kini dilanjutkan reman imigresen 14 hari (bermula hari ini) bagi siasatan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan pasangan suami isteri yang baru pulang ke pangsapuri terbabit melihat seorang lelaki dalam keadaan berbogel dipercayai sedang meliwat seekor kucing di tingkat empat.
Suspek kemudian mencampak kucing itu ke tingkat bawah sebelum melarikan diri.
Susulan itu, suspek ditahan pada 4.45 pagi, Sabtu lalu, sebelum direman lima hari sehingga 19 Nov untuk disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan serta Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Perbuatan terbabit disyaki dilakukan akibat pengaruh alkohol. – MADANI NEWS
