Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik Kanan PM
SHAH ALAM Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi hantaran ringkas di platform X pada Selasa.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menyedari terdapat percubaan untuk menyerangnya dan ia boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.
“Saya juga pagi tadi telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, media melaporkan, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri.
Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan buat pembantu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam sebuah projek hospital di Muar.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Khamis lalu menamakan Shamsul Iskandar sebagai individu yang menulis surat sokongan itu.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dibuat.
Anwar menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung tindakan Shamsul Iskandar yang didakwa mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ahmad Fadhli mendakwa, hanya dua dari enam kontraktor yang disenaraikan mempunyai kelayakan.
Terbaharu, menurut laporan Malaysiakini, Shamsul Iskandar juga dikaitkan dengan kontroversi di mana seorang ahli perniagaan, Albert Tei memetik nama individu tersebut dalam satu skandal perlombongan – MADANI NEWS.
