Misteri mayat dalam beg terjawab: Polis sahkan identiti Suri Narudin
PETALING JAYA: Teka-teki penemuan mayat wanita yang ditemui dalam beg dan ditanam berhampiran sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau, akhirnya terungkai apabila polis mengesahkan mangsa ialah Suri Narudin, yang sebelum ini dilaporkan hilang.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pengesahan identiti dibuat hasil padanan cap jari mangsa dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut beliau, cap jari mayat berkenaan telah dihantar ke Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk perbandingan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati cap jari tersebut sepadan dengan rekod dalam Sistem JPN atas nama Suri Narudin, yang dilaporkan hilang di Balai Polis Ampang pada 15 Dis lalu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Selain itu, laporan analisis DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia turut mengesahkan identiti mangsa.
“Keputusan analisis DNA menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat, iaitu adik-beradik kandung, dengan kebarangkalian yang sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan pengesahan identiti mayat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di kawasan rumah tidak berpenghuni di Batu 4 Pedas, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Suri dilaporkan hilang sejak 8 Dis lalu. Susulan penemuan mayat tersebut, polis menahan dua lelaki di Melaka dan Genting Sempah dalam tempoh kurang 24 jam, dengan seorang daripada mereka dipercayai suspek utama dan mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.
Kes kini disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif dan peranan individu terlibat. – MADANI NEWS
