Wan Ji sahkan keluar PKR, mahu ‘kurangkan musuh’
PENDAKWAH bebas Wan Ji Wan Hussin hari ini mengesahkan telah mengemukakan surat rasmi untuk keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1 Januari lalu, dengan alasan peribadi termasuk keinginan untuk menjauhkan diri daripada konflik.
Menurut Wan Ji, keputusannya itu dibuat secara baik tanpa sebarang pertelagahan dengan mana-mana pihak dalam parti.
“Ada rakan dalam PKR menghantar mesej pagi ini untuk mendapatkan pengesahan. Saya maklumkan bahawa saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa dan memilih untuk menjauhkan diri daripada parti dengan cara yang baik,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini.
Beliau berkata, faktor usia turut mendorong keputusan tersebut, selain keinginan untuk menjalani kehidupan yang lebih tenang.
“Umur semakin meningkat dan saya perlu berfikir untuk mengurangkan musuh. Sebab itu saya membuat permohonan rasmi,” katanya.
Wan Ji menegaskan keputusannya itu tidak berkait dengan sebarang konflik khusus melibatkan individu atau kepimpinan parti, sebaliknya hasil pertimbangan peribadi.
“Saya berharap kehidupan saya selepas ini lebih jauh daripada kesusahan. Sepanjang menjadi ahli PKR, ada individu di luar parti yang tidak mahu berkawan,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebarang perancangan seterusnya selepas meninggalkan PKR.
Untuk rekod, Wan Ji menyertai PKR pada 2015 dan pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Pada 2018, beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – MADANI NEWS
