Chairman Cup 2026 uji mental pemain muda NJDP MGA-PKNS, Pasukan Biru muncul juara
KEJOHANAN Chairman Cup 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor pada 17 dan 18 Januari lalu menjadi platform penting dalam membentuk ketahanan mental serta semangat juara dalam kalangan pemain muda di bawah National Junior Development Programme (NJDP) Persatuan Golf Malaysia (MGA).
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan seramai 36 pemain junior yang dibahagikan kepada dua pasukan, Pasukan Merah dan Pasukan Biru, dengan menggunakan format Ryder Cup yang berintensiti tinggi serta menuntut kekuatan teknikal dan mental.

Dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Chairman Cup 2026 bertujuan memberi pendedahan awal kepada pemain junior untuk bersaing dalam suasana kejohanan berpasukan yang mencabar, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi tekanan sebenar di peringkat lebih tinggi.
Kejohanan itu turut memberi peluang bermakna kepada pemain junior Akademi PKNS untuk beraksi bersama pemain NJDP yang lebih berpengalaman, sekali gus mewujudkan proses pembelajaran secara langsung di atas padang.
Format match play yang digunakan menuntut pemain membuat keputusan strategik di bawah tekanan, selain memupuk disiplin, keyakinan diri serta semangat kerjasama pasukan. Sepanjang dua hari kejohanan, pemain diuji menerusi format Fourball, Foursome dan Individual Match Play.

Keputusan keseluruhan menyaksikan Pasukan Biru muncul juara dengan kutipan 20.5 mata, mengatasi Pasukan Merah yang mengumpul 15.5 mata, selepas persaingan sengit sehingga ke perlawanan terakhir.
Penganjuran Chairman Cup 2026 membuktikan komitmen berterusan NJDP MGA bersama rakan strategik seperti Akademi PKNS dalam membina asas kukuh pembangunan golf junior negara. Kejohanan seumpama ini bukan sahaja berfungsi sebagai medan pertandingan, malah menjadi platform pembentukan karakter, kepimpinan dan ketahanan mental pemain muda sebagai persediaan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – MADANI NEWS
