Sultan Sharafuddin tidak mahu babi diternak di Selangor, import daging untuk keperluan bukan Islam
PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru supaya isu penternakan babi di negeri itu ditamatkan sepenuhnya, susulan kesan alam sekitar yang disebabkan oleh operasi ladang berkenaan serta komposisi demografi penduduk.
Jesteru, Sultan Sharafuddin bertitah supaya kerajaan dapat memberikan lesen mengimport daging babi bagi memenuhi keperluan orang bukan Islam di Selangor.
“Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
“Baginda juga menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan semua pihak dan menjejaskan keamanan serta keharmonian masyarakat.
“Oleh itu, semua pihak diseru untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan serta keharmonian masyarakat di negeri ini,” kata Selangor Royal Office dalam satu kenyataan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penternakan babi pada asasnya tidak menjadi masalah, namun ia tidak boleh dijalankan berhampiran kawasan penduduk, khususnya bagi mengambil kira sensitiviti komuniti setempat.
Sultan Sharafuddin menyambut baik kenyataan Anwar itu, dengan bertitah bahawa penternakan babi sering menyebabkan bau busuk dan juga pencemaran sungai.
Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa membenarkan ladang-ladang tersebut beroperasi akan mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.
“Walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi melalui teknik penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mampu ditanggung oleh penternak yang hanya membekalkan daging babi kepada penduduk Selangor sahaja.
“Selain itu, tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air dan sungai,” menurut kenyataan Pejabat Sultan Selangor.
Baginda bertitah bahawa penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil tidak sesuai untuk Selangor berikutan keluasan tanah yang terhad, sambil menambah bahawa tanah tersebut sepatutnya digunakan bagi tujuan yang lebih memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut baginda, pemberian lebih banyak lesen import dapat memenuhi keperluan orang bukan Islam di negeri itu di samping membolehkan kerajaan negeri mengoptimumkan penggunaan tanah, sama ada untuk pembangunan atau penempatan.
Sebelum ini, campur tangan Sultan Selangor itu menyebabkan kerajaan negeri membatalkan cadangan untuk memusatkan industri penternakan babi di negeri itu di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Cadangan kerajaan negeri itu bertujuan menutup secara berperingkat ladang-ladang babi di Tanjung Sepat, yang telah mencetuskan aduan daripada penduduk setempat.
Terdapat kira-kira 30 ladang babi yang masih beroperasi di Tanjung Sepat, namun semuanya akan ditutup menjelang suku ketiga tahun ini, dengan kerajaan negeri tidak lagi membenarkan pembaharuan lesen. – MADANI NEWS
