Sabotaj dalaman: “Bertahun-tahun saya guna pendekatan berhemah tapi tidak dihargai” – Muhyiddin
SUSULAN pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melantik dua Naib Presidennya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagi menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebulat suara bersetuju dengan pelantikan tersebut bagi memastikan kelangsungan kepimpinan parti.
Beliau menyeru ahli parti supaya kekal tenang dan terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan sedia ada untuk mengemudi parti kembali ke landasan perjuangan asal dalam membela nasib rakyat.
“Dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita mampu mengharungi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
17 ahli dipecat termasuk pemimpin kanan
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat 17 ahli termasuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.
Turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Azahari Hasan.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri turut dipecat iaitu Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka), yang juga Ketua Pembangkang negeri itu.
Selain itu, sembilan ketua bahagian Bersatu serta beberapa pemimpin sayap turut dikenakan tindakan disiplin.
Tindakan demi kestabilan parti
Muhyiddin menegaskan tindakan disiplin itu bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya bagi memastikan parti kekal stabil, kukuh dan berintegriti.
Menurutnya, pelbagai usaha perdamaian telah dilakukan melalui siri pertemuan dan perbincangan sebelum keputusan diambil.
“Malah terdapat segelintir pihak yang berterusan melakukan sabotaj. Jika dibiarkan, ia akan merosakkan parti serta mengecewakan ahli yang setia,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa selama bertahun-tahun beliau mengambil pendekatan berhemah dalam menghadapi sabotaj dalaman dan tekanan daripada dalam parti.
“Saya juga memberi ruang kepada individu yang berbeza pendapat demi perpaduan dan kestabilan parti. Namun usaha tersebut tidak dihargai dan tindakan bercanggah dengan perlembagaan parti terus berlaku,” katanya.
Menurut Muhyiddin, pelaksanaan proses disiplin kini adalah langkah perlu bagi memastikan parti kekal berada di landasan perjuangannya.
Azmin: proses pendewasaan parti
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali berkata tindakan tersebut merupakan sebahagian proses kematangan parti menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau menolak tanggapan bahawa pemecatan Hamzah menjejaskan imej parti, sebaliknya menyifatkannya sebagai proses pendewasaan organisasi selepas sembilan tahun penubuhannya.
Azmin turut memaklumkan bahawa semua individu yang dipecat boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.
Langkah terbaru ini dilihat sebagai usaha menyusun semula kekuatan Bersatu ketika parti itu berdepan cabaran dalaman dan persaingan politik menjelang pilihan raya akan datang. – MADANI NEWS
