Pasukan Ikhmal Basry bersama media muncul juara Pro-Am Trofi Tun Ahmad Sarji 2026
PASUKAN Media yang dibantu pemain profesional negara, Ikhmal Basry, muncul juara kejohanan Tun Ahmad Sarji Trophy Charity Pro-Am 2026 yang berlangsung meriah di Saujana Golf & Country Club, semalam.

Kejohanan anjuran Professional Golf of Malaysia (PGM) itu menyaksikan penyertaan seramai 69 pemain amatur yang bergandingan bersama 23 pemain profesional menerusi format shotgun tee-off bermula jam 7.45 pagi.
Pasukan juara terdiri daripada wakil media iaitu Sulaiman Jamain (RTM), Imran Nor (Utusan) dan Manan Samad (Harian Metro), yang bergandingan cemerlang bersama Ikhmal untuk menewaskan pencabar lain.
Hadiah kemenangan telah disampaikan Pengarah PGM, Dato’ Ab. Jalil Abdullah. Selain itu, penaja utama hadiah bagi tiga pasukan terbaik serta cabutan bertuah disumbangkan oleh MST Golf.
Sebanyak 12 syarikat korporat menaja penerbangan Pro-Am kali ini antaranya Affin Bank, MBSB Bank, Sime Darby Property Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan SIRIM.
Kejohanan ini dianjurkan bagi mengenang jasa bekas Pengerusi Pengasas PGM, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, yang meninggal dunia pada 2021. Dana terkumpul disalurkan kepada Yayasan Institut Pengajian Al-Quran.
Wakil keluarga Allahyarham, Datin Suriani, turut menyerahkan cek cura bernilai RM20,000 kepada pengarah yayasan, Haji Kasmuri Sukardi.
PGM dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada semua penaja, pemain profesional dan amatur, pegawai kejohanan serta pihak pengurusan kelab yang menjayakan acara itu. Badan induk golf profesional negara itu juga berharap kejohanan amal berprestij tersebut dapat diteruskan lagi pada edisi 2027. – MADANI NEWS
