“Jangan banyak berdalih, kerajaan perlu contohi keberanian Indonesia” – Pemandu e-hailing
“JANGAN terus berdalih di sebalik suruhanjaya, sedangkan nasib pemandu e-hailing terus diperkotak-katikkan seperti melukut di tepi gantang!”
ITU amaran keras Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM) yang melihat keberanian pentadbiran Indonesia di bawah Presiden Prabowo Subianto sebagai ‘tamparan’ buat kerajaan Malaysia dalam menangani isu kebajikan pekerja gig.

Pengerusinya, Zulkifli Othman (gambar) berkata, langkah drastik Indonesia mengurangkan had komisen syarikat operator daripada 20 peratus kepada hanya lapan peratus adalah satu bentuk pembelaan nyata yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan di negara ini.
“Masalah yang kami hadapi bukan lagi isu kecil, ia adalah soal kelangsungan hidup. Indonesia sudah membuktikan bahawa suara pemandu boleh mengubah dasar jika kerajaan mempunyai ‘telur’ untuk campur tangan.
“Di sini, kita masih lagi bermain dengan alasan birokrasi. Dulu beri dalih Majlis Perundingan Gig (MPGig), sekarang guna nama Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM). Jangan jadikan suruhanjaya ini sekadar ‘perisai’ untuk menghalalkan kegagalan bertindak,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Aman Hari Pekerja di Dataran Merdeka.
Terdahulu, kira-kira 100 pemandu e-hailing menyertai perarakan aman tersebut sebagai simbolik kebangkitan kumpulan itu yang kini dilihat semakin berani menuntut hak asasi mereka di tengah-tengah himpitan kos sara hidup.
Mengulas mengenai sokongan rakyat, Zulkifli mendedahkan perjuangan mereka kini mendapat sokongan luar biasa terutama di platform media sosial seperti TikTok yang mencatatkan ribuan tontonan.
Ujarnya, sokongan secara dalam talian itu membuktikan bahawa masyarakat sedar akan ketidakadilan yang berlaku dalam struktur tambang sedia ada yang dianggap terlalu rendah dan menindas.
“Kami mahu kerajaan segera menetapkan kadar tambang minimum. Operator e-hailing mengaut keuntungan besar, tetapi pemandu yang berpanas hujan di jalanan hanya mendapat saki-baki yang tidak mencukupi untuk menyuap mulut keluarga.
“Masalah ini menjadi semakin kronik apabila keputusan-keputusan penting yang melibatkan periuk nasi kami diserahkan kepada ‘si tolol’ yang langsung tidak faham realiti sebenar di lapangan,” tegas beliau lagi.
Perhimpunan bertemakan “Pekerja Bersatu – Tolak Perang, Lawan Rasuah” itu turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gabungan Marhaen Malaysia yang menuntut transformasi menyeluruh dalam ekosistem pekerjaan negara. – MADANI NEWS
