Dua beradik mangsa tsunami Aceh ditemui semula

Dua beradik mangsa tsunami Aceh ditemui semula
Septi Rangkuti meriba anaknya Jumadi Rangkuti di sebelah isterinya Jamaliah anak perempuan mereka Raudhatul Jannah (kiri) dan anak lelaki Arif Pratama Rangkuti (kanan)

Allah Maha kaya, setelah 10 tahun mala petaka tsunami melanda dan membunuh beratus ribu penduduknya, dua beradik mangsa tsunami Aceh ditemui semula dan disatukan dengan ibu bapa mereka.

Sepasang suami isteri dari Indonesia disatukan semula dengan anak lelaki mereka yang hilang akibat dihanyutkan ombak besar tsunami yang melanda wilayah Aceh pada 2004, dalam satu pertemuan penuh emosi di bandar Payakumbuh di wilayah Sumatera Barat.

Pertemuan itu berlangsung hanya beberapa minggu selepas pasangan itu berjaya menemui semula anak perempuan mereka.

Bagi Jamaliah dan suaminya, Septi Rangkuti, pertemuan semula mereka dengan anak lelaki mereka, Arif Pratama Rangkuti, kini 17 tahun, melengkapkan keluarga mereka selepas selang beberapa minggu bertemu semula dengan anak perempuan mereka, Raudhatul Jannah, 14.

Dengan kembalinya Arif Pratama Rangkuti dan Raudhatul Jannah, keluarga Jamaliah kembali lengkap selepas 10 tahun mereka terpisah akibat bencana yang mengorbankan lebih 170,000 penduduk Indonesia, lapor Mail Online.

Pasangan itu dipertemukan dengan anak lelaki mereka di rumah pasangan yang menemui remaja itu, Lana Bestari dan Windu Fajri yang menemui remaja itu tidur di luar sebuah kafe siber yang dimiliki mereka di Payakumbuh, sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Lana, selepas melihat gambar Arif Pratama Rangkuti semasa kecil di televisyen, dia percaya bahawa remaja itu adalah kanak-kanak yang sering tidur di premisnya lalu menghubungi Jamaliah dan sentiasa berhubung sejak itu.

“Benar, dia adalah anak lelaki kami. Kami sedang membuat persediaan untuk membawanya pulang,” kata Rangkuti, sambil menjelaskan bahawa anaknya telah hidup sebagai kanak-kanak jalanan sejak 10 tahun lalu di kepulauan Sumatera.

Jamaliah yang ditemui di Payakumbuh dilihat menangis semasa dia memeluk remaja itu yang kelihatan malu dan terharu.

Penyatuan semula keluarga tersebut mendapat liputan meluas media yang merakamkan pertemuan ‘ajaib’ Jamaliah dan Septi Rangkuti dengan anaknya perempuannya Raudhatul Jannah pada Jun lalu selepas saudara mereka melihat remaja itu yang mempunyai wajah mirip ibunya di sebuah kampung di pedalaman Aceh.

“Saya berdoa sepanjang malam kerana jauh di sudut hati, saya percaya bahawa anak-anak saya masih hidup.

“Suami saya sentiasa resah berada di rumah kerana memikirkan nasibnya. Saya sering berkata anak lelaki kami masih hidup,” katanya.